
KUALA LUMPUR, 3 Jun 2025. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini sedang memantau secara serius varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai NB.1.8.1, yang telah merebak ke 22 negara, termasuk negara-negara di Asia Tenggara, Eropah, Amerika Utara dan Selatan sehingga 28 Mei 2025.
Varian NB.1.8.1 merupakan keturunan varian Omicron JN.1 dan dikategorikan sebagai “varian yang sedang dipantau”. Setakat ini, WHO menegaskan bahawa varian ini tidak menyebabkan gejala yang lebih serius berbanding varian lain yang sedang beredar.
Profesor William Schaffner dari Vanderbilt University Medical Center, Amerika Syarikat, menjelaskan bahawa tiada gejala khusus yang membezakan varian ini daripada varian lain. Bagaimanapun, varian sebelum ini menunjukkan kadar kemasukan hospital yang lebih tinggi berbanding NB.1.8.1.
Gejala yang biasa dialami pesakit adalah demam, menggigil, batuk, sakit tekak, keletihan, sesak nafas dan cirit-birit. Menurut WHO, imuniti yang diperoleh melalui vaksinasi atau jangkitan terdahulu dijangka masih mampu memberikan perlindungan berkesan terhadap varian ini.
Walaupun varian NB.1.8.1 tidak dianggap sebagai ancaman serius pada ketika ini, WHO tetap menegaskan kepentingan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan yang lebih meluas.
Di Malaysia, perkembangan terkini varian ini dipantau rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, serta penggalakan vaksinasi terus disarankan untuk mengurangkan risiko penyebaran.
KKM juga mengingatkan rakyat Malaysia agar terus berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan jika mengalami gejala berkaitan. Kesiapsiagaan kesihatan negara sentiasa dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan penyebaran yang lebih serius pada masa hadapan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan rasmi yang akan diumumkan oleh KKM dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai situasi Covid-19 di negara ini.
#Prezcom