
KUALA LUMPUR, 1 Jun 2025. Keputusan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada Umno dan menyertai PKR mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan ketegangan hubungan antara kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Adam Adli berkata, situasi ini tidak boleh dielakkan sepenuhnya, namun beliau berharap kedua-dua parti akan menguruskannya dengan berhati-hati bagi mengekalkan kestabilan politik semasa.
“Memang ada risiko berlaku ketegangan antara PKR dan Umno. Oleh itu, situasi ini perlu ditangani secara berhemah agar kerjasama dalam kerajaan perpaduan tidak terganggu,” ujar Adam selepas menghadiri forum anjuran pelajar Fakulti Undang-undang Universiti Malaya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim pula berpandangan positif terhadap kemasukan Zafrul ke dalam PKR, yang menurutnya dapat membuka ruang kepada lebih ramai golongan profesional menyertai parti itu, seterusnya memperkukuh komitmen PKR terhadap politik yang progresif dan inklusif.
“Kemasukan Zafrul dilihat mampu menambah nilai kepada PKR berdasarkan pengalaman luas beliau, seterusnya menunjukkan kematangan parti sebagai wadah politik masa depan Malaysia,” kata Kamil.
Tengku Zafrul semalam mengumumkan pengunduran dirinya daripada Umno menerusi surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan. Beliau juga telah memaklumkan niatnya secara rasmi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, untuk menyertai parti tersebut.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan Tengku Zafrul dan menggesa Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam kabinet Persekutuan kepada Umno ekoran pengunduran Zafrul.
“Selepas Tengku Zafrul keluar, kini Umno hanya memiliki enam jawatan menteri penuh. Justeru, kita berharap satu jawatan lagi dapat dikembalikan kepada Umno,” katanya selepas menghadiri program Pekebun Kecil Makmur di Sarawak hari ini.
Zahid turut menyatakan beliau akan merujuk penasihat undang-undang Umno bagi meneliti kemungkinan pelanggaran perjanjian oleh Tengku Zafrul, yang bertanding sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa peletakan jawatan Tengku Zafrul tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama antara Umno dan PKR. Beliau menekankan pentingnya kedua-dua parti terus bekerjasama demi kestabilan politik negara.
Permohonan Zafrul untuk menyertai PKR kini sedang dalam proses biasa yang ditetapkan parti tersebut dan masih menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan PKR.
#Prezcom