Hukum Kongsi Satu Bahagian Korban

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025. Setiap kali tiba musim Aidiladha, persoalan mengenai hukum perkongsian satu bahagian haiwan korban sering timbul dalam kalangan umat Islam. Ramai yang keliru sama ada boleh atau tidak berkongsi satu bahagian korban, misalnya 1/7 daripada lembu, untuk beberapa individu secara serentak seperti bapa, ibu, isteri dan anak-anak.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA,: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji. Lalu Baginda menyuruh kami berkongsi dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa hukum asal bagi korban ialah satu bahagian hanya sah untuk satu nama sahaja. Ini bermaksud jika seseorang membeli satu bahagian (1/7) daripada lembu atau unta, bahagian tersebut hanya sah sebagai ibadah korban untuk seorang peserta sahaja.

Namun, menurut ulama, seseorang masih dibenarkan untuk menghadiahkan pahala korban kepada ahli keluarganya. Perkara ini dijelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: “Rasulullah SAW menyembelih dua ekor kibas sambil menyebut: ‘Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.'” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi, seorang ulama mazhab Syafi’i, dalam syarahnya menyatakan hadis ini membolehkan seseorang melakukan korban untuk dirinya sendiri tetapi menghadiahkan pahala korban tersebut kepada keluarganya. Menurut Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Al-Iqna’, perkara ini dibenarkan selagi penyembelihan dilakukan atas nama seorang peserta sahaja.

Kesilapan umum yang sering berlaku dalam masyarakat ialah menamakan satu bahagian korban secara serentak untuk diri sendiri, arwah ibu bapa, pasangan, serta anak-anak. Perbuatan ini dianggap tidak sah kerana ia bertentangan dengan syarat asas korban, iaitu satu bahagian satu peserta.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang ingin melakukan korban atas nama dirinya, arwah ayah, dan arwah ibu, dia perlu membeli tiga bahagian secara berasingan (3/7 daripada seekor lembu). Ini bagi memastikan setiap nama individu mempunyai bahagian korban yang jelas.

Namun begitu, jika seseorang itu menyembelih seekor kambing atau satu bahagian korban atas namanya sendiri dan berniat menghadiahkan pahalanya kepada seluruh ahli keluarganya, ini dibenarkan dalam mazhab Syafi’i.

Umat Islam dinasihatkan agar:

  1. Tetapkan niat dengan jelas dan pastikan satu bahagian korban hanya untuk satu nama peserta.
  2. Jika ingin meniatkan korban untuk beberapa nama, belilah bahagian tambahan atau niatkan sebagai hadiah pahala sahaja.
  3. Rujuk kepada pihak berautoriti seperti pejabat agama atau ulama yang pakar dalam fiqh ibadah untuk mendapatkan kepastian.
  4. Utamakan keikhlasan kerana ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, bukan sekadar untuk agihan daging sahaja.

Semoga penjelasan ini membantu umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan sempurna, penuh keikhlasan, serta diterima oleh Allah SWT.

#Prezcom