ASEAN, GCC dan China Berhasrat Kukuhkan Kerjasama Industri Halal Dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Mei. Beberapa negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam industri halal.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata minat tersebut dizahirkan susulan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal di peringkat global.

“Mereka mahu Malaysia berkongsi pengalaman serta isu teknikal berkaitan industri halal. Industri ini bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman (F&B), malah turut merangkumi sektor logistik, farmaseutikal dan pelbagai lagi bidang lain.

“Potensi industri halal bukan sahaja terhad kepada negara-negara Islam sahaja, malah ia merupakan satu konsep yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat serta ekonomi negara masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah ekonomi terbuka, amat penting bagi Malaysia meningkatkan penglibatan dalam blok-blok baharu untuk menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global semasa.

“Kami telah mengumumkan pada Isnin lalu bahawa Malaysia dan GCC akan memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Pada masa yang sama, kita turut berbincang mengenai cara melibatkan diri dalam sektor-sektor baharu bersama China.

“ASEAN juga telah memuktamadkan perbincangan mengenai FTA ASEAN-China yang melibatkan beberapa bidang baharu seperti ekonomi hijau, rantaian bekalan dan ekonomi digital,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menyambut baik kenyataan bersama oleh ASEAN, GCC dan China yang menyatakan komitmen untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan. Perbincangan mendalam antara pemimpin-pemimpin ketiga-tiga pihak turut meliputi sektor ekonomi hijau, ekonomi digital dan industri halal.

“Ramai pemimpin menyatakan bagaimana kita boleh membangunkan industri halal antara ASEAN dan GCC selain meneroka peluang dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau,” jelas beliau.

#Prezcom