
— fotoBERNAMA (2025) COPY RIGHT RESERVED
SEPANG, 28 Mei. Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai satu kejayaan besar yang menarik perhatian meluas media tempatan dan antarabangsa.
Fahmi, yang juga merupakan jurucakap kerajaan MADANI, berkata sidang kemuncak yang bermula pada Isnin lalu mendapat liputan positif daripada pelbagai pihak, menunjukkan kemampuan Malaysia dalam memainkan peranan strategik dalam diplomasi antarabangsa dan ekonomi global.
“Alhamdulillah, saya mendapati Sidang Kemuncak ASEAN-Gulf Cooperation Council (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.
“Secara umum, maklum balas yang diterima daripada masyarakat awam dan media antarabangsa jelas menggambarkan bahawa sidang kemuncak ini berjaya,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengiringi keberangkatan pulang Timbalan Perdana Menteri Oman bagi Hal Ehwal Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, Sayyid Asaad bin Tarik al Said, serta delegasinya pada jam 2.33 petang.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa kejayaan sidang ini menonjolkan potensi Asia Tenggara sebagai rantau yang stabil serta destinasi pelaburan dan pelancongan menarik di mata dunia.
“Kita sedar setiap negara anggota mempunyai pandangan tersendiri dalam beberapa isu tertentu, namun di bawah naungan ASEAN, kita mampu memastikan kestabilan Asia Tenggara terpelihara, sekali gus menjadikannya destinasi yang menarik buat pelabur dan pelancong,” tambah beliau.
Sidang kemuncak kali ini turut membuktikan keupayaan ASEAN dalam bertindak sebagai penghubung strategik antara benua Asia dan Teluk, terutama menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China buat kali pertama.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan, ASEAN masih berjaya mencari titik persamaan dalam kestabilan ini untuk mengejar kemajuan serta kemakmuran bersama,” jelas Fahmi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir semalam telah menghimpunkan para pemimpin Asia Tenggara bagi membincangkan kerjasama serantau, integrasi ekonomi, dan kestabilan geopolitik yang menjadi fokus utama.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dengan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, sekaligus mengukuhkan kerjasama serantau dan antara benua.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan diadakan sekali lagi di Kuala Lumpur pada Oktober ini, dengan Malaysia terus memegang peranan sebagai pengerusi ASEAN.
#Prezcom