JPA-MARA Buka Program Khas Bantu Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Melanjutkan Pelajaran

KUALA LUMPUR, 29 April 2025. Permohonan dalam talian bagi Program Khas JPA-MARA Tahun 2025 kini dibuka secara rasmi mulai hari ini, 28 April pada jam 2.00 petang dan akan berlangsung sehingga Ahad, 11 Mei 2025, jam 5.00 petang. Program ini menawarkan tajaan berbentuk Pinjaman Boleh Ubah, khusus buat pelajar cemerlang Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Majlis Amanah Rakyat (MARA), program penajaan ini bertujuan membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama, sama ada di dalam mahupun luar negara. Destinasi pengajian termasuk Jepun, United Kingdom, New Zealand, dan Malaysia dengan bidang pilihan seperti Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (S&T), Perakaunan, Ekonomi, Kewangan serta Sains Sosial.

Antara syarat utama kelayakan permohonan yang diumumkan termasuk:

  1. Pemohon dan salah seorang ibu atau bapa mestilah berketurunan Melayu atau Bumiputera serta merupakan warganegara Malaysia.
  2. Pemohon perlu bebas daripada penyakit kronik atau berjangkit serta disahkan sihat untuk mengikuti pengajian sehingga tamat.
  3. Ibu, bapa atau pemohon tidak boleh berada dalam senarai hitam JPA atau sedang menghadapi sebarang tindakan undang-undang oleh JPA.
  4. Jika ditawarkan penajaan ini, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan kewangan atau tajaan lain untuk peringkat pengajian yang sama.
  5. Pemohon mesti menduduki peperiksaan SPM 2024 buat kali pertama.

Umur pemohon mestilah belum mencapai 19 tahun (atau 20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM.

Sebagai gambaran, pelajar-pelajar terdahulu yang mengikuti Program Khas JPA-MARA ini kini melakar kejayaan cemerlang di universiti-universiti terkemuka dunia. Ramai di antaranya kembali memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor strategik. Program ini bukan sekadar penajaan biasa, tetapi sebuah pelaburan masa depan yang mampu membuka ruang kepada generasi muda Bumiputera untuk meneroka potensi akademik dan profesional yang lebih luas di pentas antarabangsa.

Pelajar-pelajar yang berminat boleh menghantar permohonan secara dalam talian menerusi portal rasmi JPA di www.jpa.gov.my atau MARA di www.mara.gov.my. Pastikan semua syarat dipenuhi dengan teliti agar tidak terlepas peluang keemasan ini. Inisiatif seperti ini amat penting dalam menjana modal insan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik, tetapi juga berdaya saing secara global, sekali gus memperkukuh daya tahan dan keupayaan negara dalam mendepani cabaran masa depan.

Info:

Permohonan dalam talian untuk Program Khas JPA-MARA Tahun 2025 dibuka mulai 28 April 2025 (Isnin) 2.00 petang hingga 11 Mei 2025 (Ahad)5.00 petang.
Program ini merupakan kerjasama antara JPA dan MARA. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88853297 atau e-mel lepasanspm2025@jpa.gov.my.

#Prezcom