Yasin Sulaiman Dibebaskan Hukuman Penjara Seumur Hidup dan 16 Sebatan

PUTRAJAYA, 29 APRIL 2025 – Selepas tiga tahun bergelut dengan tuduhan berkaitan dadah, penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman, akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan hari ini membebaskannya daripada hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan.

Dalam keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Datuk Azmi Ariffin, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan akhir Yasin dan mengetepikan sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Panel hakim turut mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini yang telah melepas dan membebaskan Yasin daripada ketiga-tiga tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atas alasan gangguan mental. Mahkamah juga memerintahkan beliau ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan Sultan Selangor bagi tempoh yang akan ditentukan.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, penyanyi berusia 50 tahun itu dilihat meniup ciuman kepada ahli keluarganya dan peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai tanda kesyukuran. Anak perempuannya yang berusia 17 tahun turut melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah, mencetus suasana penuh emosi di kalangan mereka yang hadir.

Kes ini bermula pada 24 Mac 2022 apabila Yasin ditahan atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik di kediamannya di Kota Damansara, serta mengambil dadah berbahaya. Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya telah membebaskan beliau kerana mendapati Yasin mengalami gangguan mental yang teruk semasa melakukan perbuatan tersebut. Namun, keputusan tersebut dicabar oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang kemudian pada 22 Ogos 2024 telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan ke atas Yasin. Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas semua tuduhan tersebut dengan alasan beliau sedar akan perbuatannya ketika kejadian berlaku.

Peguam Yasin telah membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan, yang akhirnya berpihak kepadanya dengan alasan yang sama dikemukakan oleh Mahkamah Sesyen, iaitu gangguan mental yang dialaminya ketika insiden berlaku. Ketika ditemui media selepas keputusan tersebut, Yasin menyatakan rasa syukur dan lega kerana perjalanan penuh cabaran selama hampir tiga tahun itu berakhir dengan baik.

“Alhamdulillah, hari ini berakhir dengan baik dan saya tidak akan kembali ke sini lagi. Sekarang saya perlu kembali ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk meneruskan rawatan bagi gangguan bipolar,” ujar Yasin dengan tenang.

Abang beliau, Zain Sulaiman, 51 tahun, menegaskan keluarga akan terus memberi sokongan penuh sepanjang tempoh rawatan di hospital.

“Jarak bukan satu masalah buat kami. Yang penting Yasin mendapat rawatan terbaik daripada pakar di hospital tersebut. Kami yakin beliau akan semakin pulih dan dapat kembali menjalani kehidupan normal,” katanya penuh harapan.

Kes ini membuka mata masyarakat tentang pentingnya kesedaran terhadap kesihatan mental, terutamanya bagi mereka yang berhadapan tekanan tinggi dalam kehidupan. Ia juga mengingatkan semua pihak bahawa rawatan dan sokongan keluarga merupakan elemen penting dalam proses pemulihan individu yang mengalami gangguan mental.

#Prezcom