Daulat Tuanku,

Terbaru, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menyertai program World #QuranHour 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 22 Ramadan 1444H, Khamis 13 April 2023.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuru Agong disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad. Manakala, turut sama hadir daripada pihak kedutaan dari Turkiye, Libya, Yemen, Azerbaijan, dan Senegal.

World #QuranHour adalah kempen gerakan Al-Quran melalui baca, faham dan amal bertujuan mewujudkan tanda kesatuan hati semua pihak untuk bersinergi dalam membawakan Misi Al-Quran. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, untuk tahun 2023, Surah Al-Insan telah dipilih dengan membawa tema “Memanusiakan Ummah” (humanising the ummah), melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the nation serta Humanising the World dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.

Program World #QuranHour itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Syeikh Hasan Abdul Ghani Abu Sittah dan bacaan surah Al-Baqarah oleh Abdul Khair Jalil. Seri Paduka Baginda Raja turut berkenan bersama-sama hadirin World #QuranHour melafazkan ikrar untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam membentuk kerangka pemikiran dan sistem operasi diri berpandukan 11 karakter Al-Abrar dalam surah Al-Insan.

Terdapat 11 karakter yang perlu dididik dalam diri seseorang untuk menjadi Insan berkebajikan (Al-Abrar). Ia mencakupi tanggungjawab manusia kepada ALLAH SWT dan tanggungjawab manusia sesama manusia seperti yang dijelaskan di bawah:

  1. Memenuhi nazar/janji kepada ALLAH SWT dan sesama manusia (76:7)
  2. Takut azab Allah SWT (76:7)
  3. Memberi makan apa yang disukainya (76:8)
  4. Ikhlas (76:9)
  5. Beriman kepada hari akhirat (76:10)
  6. Berpegang teguh dengan al-Quran (76:23)
  7. Sabar (76:24)
  8. Menahan diri daripada melakukan dosa (76:24)
  9. Menunaikan solat fardu (76:25)
  10. Menunaikan solat tahajjud (76:26)
  11. Bertasbih (76:26)

Seri Paduka Baginda turut berkenan bertemu dan beramah mesra dengan kira-kira 3,000 orang yang hadir termasuk mahasiswa UIAM yang menyertai program tersebut. Program berinteraksi dengan al-Quran ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Sejak 2020 hingga 2022, TV AlHijrah menjadi penyiar utama #QuranHour dan bersiaran langsung dari studio TV AlHijrah dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ketika negara dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid 19. Tahun ini, Astro Oasis kembali sebagai penyiar utama bagi World #QuranHour untuk bersiaran secara langsung pada hari tersebut. Gabungan media telah melahirkan impak perkembangan misi Baca, Faham, Amal al-Quran dari Malaysia ke seluruh dunia. Sehingga tahun 2022 capaian media sosial telah terkumpul sebanyak 3.46 bilion. Kesan dari sini juga banyak Rumah Ngaji dan Quran Corner dibuka bukan sekadar di Malaysia tetapi di Indonesia hingga Makkah dengan kaedah memahami isi al-Quran agar berlaku perubahan kerangka fikir dengan al-Quran.”

#QuranHour
#Royal
#PrezCom