Ban on single-use plastic bags

PUTRAJAYA, 19 April 2025 – Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah tegas dengan melarang penggunaan beg plastik sekali guna di semua hutan simpan, taman negara, taman negeri, taman marin, tapak Geoheritage, tapak geologi, dan pelbagai premis perniagaan tertentu di seluruh negara sebagai usaha proaktif mengurangkan pencemaran plastik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, menjelaskan keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bertanggungjawab terhadap Alam Sekitar (MEXCOE) Bil. 1/2025 yang berlangsung di Putrajaya pada Khamis lalu. “Larangan ini akan melibatkan premis tetap termasuk pasar raya, kedai serbaneka—termasuk di stesen minyak—restoran makanan segera, kedai rangkaian, farmasi serta premis berkaitan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut beliau lagi, kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan serta keperluan setiap negeri bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan. Selain larangan penggunaan beg plastik, kerajaan persekutuan dan negeri turut komited memperkukuhkan kerjasama menangani isu pembuangan sisa elektronik haram (e-waste), yang semakin meningkat ekoran kemasukan import sisa elektronik tanpa izin.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap premis tidak berlesen yang terlibat dalam pemprosesan sisa elektronik secara haram di negeri masing-masing. Ini bertujuan memastikan penguatkuasaan yang lebih ketat dan jelas bahawa aktiviti haram tidak akan sama sekali dibenarkan,” tegasnya.

Nik Nazmi optimis bahawa keputusan mesyuarat MEXCOE ini akan memberi kesan positif terhadap ekosistem negara serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang serius dalam menangani cabaran alam sekitar global. Beliau turut menegaskan bahawa, “Langkah seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengelakkan pembaziran serta menggalakkan pengurusan sisa mampan bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah mencerminkan tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin terhadap kelestarian bumi.”

Berdasarkan laporan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN):

Angka ini menggambarkan betapa seriusnya isu pencemaran plastik di negara ini dan kepentingan langkah proaktif kerajaan bagi mengurangkan penggunaannya.

Langkah terbaru kerajaan ini harus dijadikan titik permulaan kepada masyarakat Malaysia untuk mengubah sikap dan gaya hidup ke arah yang lebih mesra alam. Dengan memahami magnitud isu sisa plastik, masyarakat perlu sedar bahawa setiap tindakan kecil, seperti membawa beg kitar semula ketika membeli-belah, mampu memberi impak besar terhadap kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Kita bertanggungjawab memastikan bumi ini kekal selamat dan lestari, dan usaha ini perlu disokong secara kolektif oleh seluruh rakyat Malaysia.

#Prezcom