
SAN FRANCISCO, 17 April 2025 – Mark Zuckerberg mencadangkan satu strategi radikal bertujuan menghidupkan semula populariti Facebook yang semakin merosot, iaitu dengan menghapuskan semua rangkaian rakan pengguna dan memaksa mereka membina semula hubungan dari awal. Cadangan mengejutkan ini didedahkan semasa beliau memberi keterangan dalam perbicaraan antitrust yang dibawa oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC), yang jelas menunjukkan perubahan besar tumpuan Facebook daripada hubungan peribadi.
Dalam e-mel dalaman yang mengejutkan dari tahun 2022 yang dibentangkan semasa perbicaraan, Zuckerberg mencadangkan “Pilihan 1: Fokus Berganda kepada Persahabatan.” Beliau menyatakan idea berani ini bertujuan mengaktifkan semula penglibatan pengguna dengan meminta mereka membentuk semula rangkaian persahabatan.
Walau bagaimanapun, cadangan tersebut telah mendapat tentangan dari Tom Alison, Ketua Facebook pada waktu itu. Tom Alison menzahirkan keraguannya atas cadangan Zuckerberg dan dengan memberi amaran bahawa tindakan radikal sedemikian boleh menjejaskan fungsi kritikal platform tersebut, khususnya Instagram. Tom Alison secara jelas menyatakan, “Saya tidak pasti Pilihan #1 boleh dilaksanakan memandangkan pentingnya persahabatan dalam penggunaan Instagram.”
Walaupun mendapat bantahan dalaman, Zuckerberg terus meneroka kemungkinan beralih daripada model berasaskan rakan kepada model pengikut. Namun akhirnya, idea tersebut diketepikan. Ketika mengulas cadangan itu di mahkamah, Zuckerberg mengakui, “Memang benar bahawa dari semasa ke semasa, aspek ‘minat’ telah berkembang jauh lebih besar berbanding aspek ‘rakan’. Pengguna kini lebih berhubung dengan kumpulan dan pelbagai kandungan, namun persahabatan tetap menjadi nilai teras kami di Facebook.”
Pendedahan ini dibuat ketika Federal Trade Commission (FTC) mendakwa bahawa Meta melanggar undang-undang antitrust melalui pengambilalihan strategik Instagram dan WhatsApp pada tahun 2012 dan 2014. dan alasan ini adalah berdasarkan satu lagi e-mel Zuckerberg dari tahun 2008 yang menyatakan, “Lebih baik membeli daripada bersaing,” menggambarkan pendekatan Meta dalam menghapuskan persaingan.
Meta dengan tegas menafikan tuduhan ini dan menegaskan bahawa landskap persaingan telah berubah secara dramatik. Syarikat itu merujuk persaingan sengit daripada TikTok, YouTube, X (sebelum ini Twitter), dan iMessage. “Pengawal selia sepatutnya menyokong inovasi Amerika, bukannya memecah-belahkan syarikat Amerika yang hebat dan secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pesaing seperti China,” kata Meta dalam kenyataan mereka.
Sebagai respons terhadap kritikan mengenai kurangnya hubungan peribadi diantara pengguna Facebook. Facebook baru-baru ini memperkenalkan tab baharu “Rakan” yang bertujuan mengembalikan tarikan asal platform tersebut dengan memaparkan hantaran, cerita, reel, dan tarikh lahir daripada kenalan peribadi.
Keputusan perbicaraan ini bukan sahaja bakal menentukan masa depan Meta tetapi juga mengubah peraturan persaingan dalam landskap digital.
#Prezcom