
KUALA LUMPUR, 21 Mac 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk terus memacu reformasi, menerapkan penggunaan teknologi terkini yang sesuai serta mengoptimumkan kos pelaksanaan bagi memastikan projek-projek infrastruktur negara dijalankan dengan lebih cekap, cepat dan berimpak tinggi.
Gesaan itu dinyatakan semasa Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR yang berlangsung di Kompleks Kerja Raya sempena Program Ihya Ramadan baru-baru ini. Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Maslan, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa KKR adalah antara kementerian paling penting kerana bertindak sebagai pelaksana utama projek berskala besar, sederhana dan kecil di bawah Rancangan Malaysia. Projek-projek ini meliputi peringkat kementerian, negeri, dan daerah, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Teknologi dan Transformasi Kerja: Kunci Keberkesanan
Dalam perutusan beliau, Perdana Menteri menekankan perlunya KKR merangka kaedah baharu, melaksanakan idea segar, serta memacu strategi dan reformasi pantas yang seiring dengan arus teknologi dan keperluan semasa negara, terutama dalam situasi sumber yang semakin terhad.
“KKR juga mesti berusaha menghasilkan infrastruktur yang benar-benar berkualiti dan berfungsi seperti yang dimatlamatkan. Setiap jalan yang dibina, setiap jambatan yang dinaik taraf dan setiap projek yang diterajui bukan sekadar memenuhi angka atas kertas. Ia adalah nadi kehidupan rakyat,” katanya. Kenyatannya ini di muat naik di Facebook rasmi miliknya semalam.
Komitmen Kementerian dan Arah Baharu
Susulan pertemuan itu, Datuk Seri Alexander Nanta menyambut baik saranan Perdana Menteri dan menyatakan komitmen tinggi KKR untuk memastikan Malaysia bangkit dan terus mara ke hadapan.
“Cara kerja lapuk perlu diberi sentuhan transformasi dan anjakan paradigma demi memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi nilai terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Dengan dorongan jelas daripada kepimpinan negara, KKR dijangka akan mempergiat pelaksanaan projek berasaskan pendekatan inovatif dan teknologi pintar, termasuk dalam perancangan, penyediaan dan pembinaan infrastruktur negara yang mampan.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memperkukuh kecekapan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selari dengan aspirasi reformasi Malaysia MADANI.
#Prezcom