Pada 7 April 2023, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri telah membuat ketetapan untuk memohon ihsan Ke Bawah Duli Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Dato’ Sri Najib Razak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal desas desus yang mengatakan wujudnya konflik kepentingan dan penglibatannya dalam proses permohonan pengampunan Najib Razak dan memberitahu bahawa kuasa pengampunan adalah dibawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan proses permohonan pengampunan dibenarkan untuk dibuat oleh sesiapa sahaja.

Anwar Ibrahim selepas melancarkan Program Right to the City: Kita untuk Kita (K2L) di Pangsapuri PPR Kampung Baru HICOM, Shah Alam juga berkata, ““Saya tidak mahu menghalang sesiapa dalam perkara itu, tetapi apa sahaja proses di mahkamah adalah amat bebas, ia perlu dipatuhi dan dihormati. Akhirnya apa sahaja keputusan, ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong semata-mata”.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin di dalam Facebook peribadi miliknya didalam memberikan pandangan terhadap isu ini mengulas “Kalau UMNO simpati kepada Mohd Najib, tidakkah ia simpati kepada semua rakyat jelata yang kena tanggung dan bayar balik RM50 bilion hutang 1MDB?”

Antara sebelas (11) butiran ulasan beliau adalah seperti berikut:

1. Dalam Malaysia ini bukan ada Mohd Najib bin Abdul Razak seorang saja.
2. Atau Umno saja berhak ke atas Raja-raja Melayu.
3. Warganegara Malaysia ada 30.2 juta. Atas dasar Perlembagaan dan Rukun Negara kita semua setia kepada Raja.
4. Ahli Umno kita tidak tahu banyak mana sebenarnya walaupun Umno kata tiga juta.
4. Raja-raja ada sembilan orang. Seorang menjadi Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun sekali.
5. Katakanlah Umno ada tiga juta ahli dan semua mahu Mohd Najib diampunkan, tetapi apa hal dengan 27 juta lagi warganegara Malaysia?
6. Adakah mereka pun mahu Mohd Najib diampunkan?
7. Takkan Umno berasa mereka boleh pengaruhi Yang di-Pertuan Agong atas dasar penghakiman seorang hakim dan mengetepikan penghakiman 13 hakim yang lain?
8. Presiden Umno kata pengampunan yang mereka minta adalah atas dasar simpati kepada Mohd Najib.
9. Kalau Umno simpati kepada Mohd Najib, tidaklah ia simpati kepada semua rakyat jelata yang kena tanggung dan bayar balik RM50 bilion lebih hutang 1MDB?
10. Saya tanya seorang sahabat yang juga peguam kanan, adakah tindakan Umno ini seolah-olah hendak menjadikan Institusi Raja fait accompli dalam perbuatan Mohd Najib?
11. Beliau menjawab: “Saya bimbang itulah yang akan jadi naratif, sama ada persepsi atau realiti. Harap sangat pihak istana berhati-hati.”

Nota: Pengampunan diraja adalah dibawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan

#Prezcom