
DUNGUN 11/0/2026
Lebih 7,000 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepenuh masa di seluruh negara bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
APM telah mengeluarkan arahan pengoperasian kepada semua negeri supaya kesiapsiagaan anggota dan aset berada pada tahap optimum menjelang musim berkenaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata persediaan merangkumi pemeriksaan serta penyelenggaraan aset darat dan air, selain mempertingkatkan latihan anggota bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir.
Menurutnya, tumpuan kesiapsiagaan lazimnya diberikan kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang serta Johor kerana negeri-negeri berkenaan antara kawasan yang sering berdepan risiko banjir ketika MTL.
Lebih 7,000 pegawai dan anggota sepenuh masa APM di seluruh negara boleh digerakkan sekiranya berlaku banjir. Kekuatan itu turut disokong anggota tambahan dan pasukan sukarelawan sekiranya berlaku bencana berskala besar.
Bagi tiga negeri di Pantai Timur, setiap negeri mempunyai pasukan tindak balas awal dengan kira-kira 300 hingga 400 anggota yang boleh digerakkan mengikut keperluan operasi.
MTL lazimnya berlaku antara November hingga Mac dan tempoh tersebut sering dikaitkan dengan peningkatan risiko banjir di beberapa negeri.
Selain operasi menyelamat dan pemindahan penduduk, anggota APM turut ditugaskan di pusat pemindahan sementara bagi membantu pengurusan mangsa.
APM juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memastikan kebajikan serta keperluan mangsa di pusat pemindahan dapat diuruskan dengan baik.
Pasukan perubatan APM bersama ambulans turut disediakan untuk memberikan rawatan awal dan membawa mangsa yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital atau klinik kesihatan.
Persediaan menghadapi MTL tahun ini turut berlangsung ketika MetMalaysia memantau perkembangan El Niño yang semakin mengukuh.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip pada 18 Ogos berkata kebarangkalian El Niño mencapai kategori sangat kuat antara Oktober hingga Disember 2026 melebihi 90 peratus berdasarkan ramalan model iklim antarabangsa.
MetMalaysia menjelaskan bahawa El Niño lazimnya membawa keadaan lebih panas dan kering serta boleh mengurangkan jumlah hujan di sesetengah kawasan. Kesan ketara kepada Malaysia dijangka lebih jelas menjelang penghujung MTL dan awal tahun hadapan.
Namun, perkembangan El Niño tidak menghapuskan kemungkinan berlakunya episod hujan lebat atau banjir setempat sepanjang musim monsun.
Sehubungan itu, kesiapsiagaan anggota, penyelenggaraan aset dan keupayaan menggerakkan pasukan dengan cepat kekal menjadi komponen penting dalam pengurusan bencana.
Orang ramai khususnya di kawasan berisiko turut disaran mengikuti maklumat dan amaran cuaca rasmi yang dikeluarkan MetMalaysia serta arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
#Prezcom