
KUALA LUMPUR, 8 September 2026
Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila kira-kira 15 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas, mendorong kerajaan memperkukuh persediaan melalui Belanjawan 2027 bagi menghadapi perubahan demografi yang semakin ketara.
Kementerian Ekonomi sedang meneliti struktur kesiapsiagaan negara bukan sahaja untuk mengurus pertambahan penduduk berusia, tetapi juga memastikan generasi muda mempunyai keupayaan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam struktur penduduk yang berubah.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perubahan itu bermakna generasi muda perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap kelangsungan ekonomi dan pertumbuhan negara.
Beliau berkata penelitian kerajaan tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada pengurusan warga yang semakin berusia, sebaliknya turut melibatkan persediaan generasi muda bagi menjamin kelangsungan kehidupan mereka pada masa hadapan.
Keperluan itu semakin mendesak berdasarkan perubahan struktur penduduk Malaysia.
Menurut Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk negara dianggarkan mencecah 34.4 juta orang pada 2026 berbanding 34.2 juta pada tahun sebelumnya.
Penduduk berusia 60 tahun dan ke atas kini dianggarkan seramai 4.2 juta orang atau 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk, meningkat daripada 4.1 juta atau 12.0 peratus pada 2025.
Dalam masa yang sama, bahagian penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025 kepada 8.4 peratus pada 2026, manakala penduduk berusia antara 0 hingga 14 tahun berkurangan daripada 21.6 peratus kepada 21.2 peratus.
Komposisi penduduk usia bekerja antara 15 hingga 64 tahun pula kekal pada 70.4 peratus.
Perubahan itu turut meningkatkan nisbah tanggungan usia tua daripada 11.4 pada 2025 kepada 11.9 pada 2026. Nisbah tersebut merujuk kepada bilangan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas bagi setiap 100 penduduk dalam lingkungan usia bekerja antara 15 hingga 64 tahun.
Walaupun peningkatan itu berlaku secara berperingkat, trend tersebut memberi gambaran tentang tekanan jangka panjang yang bakal dihadapi Malaysia apabila bilangan penduduk berusia meningkat berbanding penduduk usia bekerja.
Kesan perubahan demografi itu bukan sekadar melibatkan penyediaan kemudahan untuk warga emas. Ia mempunyai implikasi langsung terhadap simpanan persaraan, perkhidmatan kesihatan, penjagaan jangka panjang, perlindungan sosial, tenaga kerja, produktiviti, perbelanjaan kerajaan serta kemampuan keluarga menjaga ahli keluarga yang semakin berusia.
Kementerian Kewangan dalam Kenyataan Prabelanjawan 2027 menyatakan Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila sekitar 15 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Justeru, kerajaan menyatakan persediaan perlu dimulakan sekarang bagi memastikan sistem persaraan, penjagaan kesihatan, ekonomi penjagaan dan sokongan komuniti mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua.
Belanjawan 2027 juga akan menilai semula kecukupan dan kemampanan sistem perlindungan sosial negara, termasuk perlindungan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta skim berkaitan.
Perhatian turut diberikan kepada pekerja gig, pekerja tidak formal dan golongan rentan supaya lebih ramai mempunyai jaringan keselamatan sosial yang mencukupi sepanjang kitaran kehidupan.
Satu lagi bidang yang bakal diberikan perhatian ialah pembangunan ekonomi penjagaan sebagai sektor pertumbuhan baharu.
Kerajaan merancang memperkukuh kapasiti penjagaan jangka panjang dan penjagaan berasaskan komuniti, membangunkan kemahiran tenaga kerja penjagaan serta meningkatkan piawaian perkhidmatan.
Langkah itu bukan sahaja bertujuan memenuhi peningkatan keperluan warga emas, tetapi berpotensi mewujudkan sektor pekerjaan dan perkhidmatan baharu apabila permintaan terhadap penjagaan jangka panjang terus meningkat.
Perubahan struktur penduduk turut membawa persoalan lebih besar terhadap keupayaan generasi muda menyokong ekonomi negara.
Akmal Nasrullah berkata pembangunan generasi baharu perlu merangkumi pemahaman lebih baik terhadap struktur serta peluang ekonomi, pembangunan bakat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik serta peningkatan penyertaan dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Hakikatnya, cabaran negara tua bukan bermula apabila Malaysia secara rasmi melepasi ambang 15 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas. Tekanan itu sedang terbentuk sekarang melalui peningkatan bilangan warga berusia, perubahan nisbah tanggungan dan keperluan membina sistem persaraan, penjagaan kesihatan serta perlindungan sosial yang mampu bertahan dalam jangka panjang.
Belanjawan 2027 kini menjadi antara medan penting untuk menentukan sama ada Malaysia sekadar bertindak terhadap peningkatan jumlah warga emas atau mula membina sistem ekonomi dan sosial yang benar-benar bersedia menghadapi struktur penduduk yang semakin menua.
#Prezcom