PUTRAJAYA, 26 Ogos 2026 – Kos sara hidup, peningkatan pendapatan rakyat, pekerjaan berkualiti, kecerdasan buatan (AI), produktiviti serta keselamatan tenaga bakal menjadi antara tumpuan utama dalam penyediaan Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Kenyataan Prabelanjawan 2027 menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai hala tuju dasar dan agenda konsultasi sebelum belanjawan itu dimuktamadkan. Rakyat diletakkan sebagai keutamaan merentas kesemua bidang tersebut, termasuk usaha meringankan beban sara hidup, meningkatkan pendapatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.

Belanjawan 2027 merupakan Belanjawan MADANI kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Penyediaannya kekal berpandukan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat dan memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Menurut MOF, penyediaan belanjawan kali ini perlu mengimbangi keperluan mendesak untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup dan krisis tenaga dengan keperluan jangka panjang membangunkan ekonomi yang lebih kompleks, produktif dan bernilai tinggi. Keutamaan turut diberikan kepada peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendigitalan, AI serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Dalam isu kos sara hidup, kerajaan akan menilai beban isi rumah secara lebih menyeluruh merangkumi makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak. Penambahbaikan terhadap penyasaran subsidi dan bantuan sosial juga akan terus dinilai menggunakan data dan tahap kelayakan yang lebih jelas.

Kuasa beli golongan rentan pula terus diberi perhatian melalui mekanisme seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan BUDI MADANI, di samping penguatkuasaan harga, Jualan Rahmah MADANI dan pengurusan bekalan strategik. Namun, hala tuju Belanjawan 2027 menunjukkan kerajaan tidak mahu penyelesaian kos sara hidup hanya bergantung kepada bantuan dan subsidi. Peningkatan pendapatan melalui gaji progresif, pekerjaan berkemahiran tinggi dan program penjanaan pendapatan turut diletakkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

Agenda gaji turut diberikan penekanan apabila kerajaan mengaitkan peningkatan taraf industri dengan produktiviti buruh, gaji yang lebih baik dan mobiliti pekerja. Belanjawan 2027 dijangka memperluas TVET diterajui industri, program perantisan, latihan semula, literasi AI, keupayaan digital dan pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja serta perusahaan kecil dan sederhana.

Kerajaan turut mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah melalui automasi dan perancangan tenaga kerja yang lebih baik. Pada masa sama, sasaran penyertaan wanita dalam tenaga buruh pada kadar 60 peratus terus diberi perhatian melalui penyediaan penjagaan kanak-kanak, aturan kerja fleksibel, insentif kepada majikan dan pembangunan kemahiran wanita.

AI pula semakin jelas diletakkan bukan sekadar sebagai agenda teknologi, tetapi sebagai instrumen meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi. Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menyatakan sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, AI dan kewangan Islam akan menjadi antara sektor yang diberi perhatian dalam usaha meningkatkan daya tahan ekonomi serta menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Bagi syarikat tempatan, hala tuju Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada syarikat mula niaga, PMKS inovatif dan usaha membawa produk serta teknologi Malaysia ke pasaran serantau dan global. Aspirasi “Made by Malaysia” akan diperkukuh melalui pembiayaan, teknologi, bakat, pensijilan, akses pasaran, penyelidikan dan pengkomersialan.

Keselamatan tenaga, keterjaminan makanan, perubahan iklim serta keselamatan siber turut termasuk dalam bidang tumpuan. Antara hala tuju yang digariskan ialah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih, meningkatkan produktiviti agromakanan, memperkukuh kesiapsiagaan terhadap banjir dan perubahan iklim serta meningkatkan daya tahan digital negara.

MOF turut memberi perhatian kepada perkembangan pusat data yang pesat. Insentif pelaburan pusat data akan diselaraskan dengan komitmen kecekapan tenaga dan air bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital tidak memberi tekanan berlebihan kepada bekalan serta kos yang ditanggung rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2027 perlu mengambil kira suara rakyat dan memastikan kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat. Hampir 400 wakil sektor awam, industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi antarabangsa menyertai Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 pada 18 Ogos lalu.

Portal Cadangan Belanjawan 2027 turut dibuka bagi membolehkan rakyat, komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan mengemukakan pandangan sebelum cadangan akhir dimuktamadkan.

Dengan pembentangan dijadualkan pada 9 Oktober 2026, ukuran utama Belanjawan 2027 nanti bukan sekadar jumlah peruntukan atau banyaknya program yang diumumkan. Persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana dasar berkaitan pertumbuhan, produktiviti, AI, pelaburan dan pembangunan tenaga kerja dapat diterjemahkan kepada kos kehidupan yang lebih terkawal, gaji yang lebih baik serta pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

#Prezcom