Malaysia Sasar Penjimatan Tenaga RM85.24 Bilion Menjelang 2035

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2026Malaysia menyasarkan penjimatan kos tenaga terkumpul sebanyak RM85.24 bilion dalam tempoh 10 tahun menerusi Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 atau NEEAP 2.0.

Pelan itu menyasarkan pengurangan permintaan tenaga negara sebanyak 11.6 peratus menjelang 2035 berbanding unjuran penggunaan tenaga tanpa pelaksanaan langkah kecekapan tambahan atau senario perniagaan seperti biasa.

Berdasarkan dokumen rasmi NEEAP 2.0, sasaran itu bersamaan penjimatan tenaga terkumpul sebanyak 815,382 terajoule bagi sektor perindustrian, komersial dan domestik sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Jumlah tersebut dianggarkan bersamaan keperluan keseluruhan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia selama hampir dua tahun.

Pada 2035 sahaja, pengurangan permintaan tenaga dijangka mencapai 169,528 terajoule daripada unjuran penggunaan keseluruhan sebanyak 1.47 juta terajoule.

Sektor perindustrian dijangka menyumbang bahagian terbesar, iaitu kira-kira 69 peratus daripada keseluruhan penjimatan tenaga. Sektor komersial pula diunjurkan menyumbang sekitar 21 peratus, manakala sektor domestik sebanyak 10 peratus.

Pelaksanaan NEEAP 2.0 turut dijangka menarik pelaburan swasta berjumlah kira-kira RM36 bilion dan mewujudkan sekitar 29,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekosistem tenaga hijau negara.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan pelan itu turut menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca bersamaan 26.1 juta tan karbon dioksida menjelang 2035.

NEEAP 2.0 dilancarkan pada 11 Ogos bersempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa Ke-7 atau ISES 2026.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelan berkenaan dipandu oleh Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 yang menginstitusikan amalan kecekapan tenaga dalam pengurusan ekonomi negara.

Menurut beliau, pengurusan tenaga terma dalam fasa dasar seterusnya akan menggalakkan pengguna mengoptimumkan penggunaan, meningkatkan daya saing dan mengurangkan tekanan terhadap grid elektrik.

Pelan itu memberi tumpuan kepada empat teras strategik, iaitu pelaksanaan langkah kecekapan tenaga, peningkatan dan pembaharuan kemahiran tenaga kerja, pembentukan mekanisme pembiayaan mampan serta pemudahcaraan pelaburan sektor swasta.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk penggunaan sistem pengurusan tenaga, kemudahan cekap tenaga, audit tenaga, peralatan berkecekapan tinggi, sistem pemulihan haba dan pendigitalan proses pengeluaran.

Pelan itu turut melibatkan kawal selia terhadap peralatan dan perkakas baharu serta penambahbaikan kecekapan tenaga dalam bangunan dan kediaman.

Bagi sektor perindustrian, langkah yang dikenal pasti termasuk penggunaan motor berkecekapan tinggi, sistem pencahayaan cekap tenaga, peralatan penyejukan dan pemanasan yang lebih cekap serta pemantauan penggunaan tenaga secara masa nyata.

Pengguna tenaga berskala besar pula perlu mengamalkan pengurusan tenaga secara sistematik selaras dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024.

Pelan terdahulu yang dilaksanakan dari 2016 hingga 2025 berjaya mencatatkan penjimatan elektrik sebanyak 60,886 gigawatt-jam, melebihi sasaran asal 52,233 gigawatt-jam.

Pencapaian itu menghasilkan penjimatan kira-kira RM16.1 bilion dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca bersamaan 35.6 juta tan karbon dioksida.

Pelaksanaan NEEAP 2.0 menjadi semakin penting ketika permintaan elektrik negara dijangka terus meningkat susulan perkembangan industri pusat data, kecerdasan buatan dan kegiatan perindustrian berintensif tenaga.

Keberhasilan pelan itu bagaimanapun bergantung pada tahap pelaburan sektor swasta, pematuhan pengguna tenaga berskala besar, penggunaan teknologi cekap tenaga dan keberkesanan pemantauan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

#Prezcom