
KUALA LUMPUR 12/08/2026
Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi antara peneraju pertumbuhan permintaan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN di luar dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Vietnam dan Thailand.
Menurut BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions, kekuatan kuasa beli pengguna Malaysia serta peningkatan daya saing model EV khususnya daripada pengeluar China dijangka terus menyokong pertumbuhan penggunaan EV dalam tempoh sederhana.
BMI menjelaskan bahawa walaupun pengecualian cukai bagi EV import sepenuhnya telah berakhir, impaknya dijangka dapat dikurangkan oleh persaingan harga yang semakin sengit dalam kalangan pengeluar EV serta peningkatan kemampuan pengguna memiliki kenderaan elektrik.
Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan sebanyak hampir 690,000 unit EV penumpang akan dijual di ASEAN menjelang 2030 sebelum meningkat kepada 916,997 unit menjelang 2035 berbanding 419,547 unit pada 2025. Dalam tempoh sama, kadar penembusan EV dijangka meningkat kepada 22.7 peratus daripada jumlah jualan kenderaan penumpang di rantau ini.
Menurut BMI, ASEAN kini sedang berkembang daripada sekadar pasaran pengguna kepada hab pembuatan dan rantaian bekalan EV yang semakin penting. Faktor seperti pertumbuhan pendapatan, dasar kerajaan yang menyokong peralihan tenaga serta pelaburan pengeluar automotif dijangka mempercepatkan perubahan tersebut.
Walaupun Vietnam dan Thailand dijangka terus menguasai sebahagian besar jualan EV di ASEAN dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia dilihat mempunyai potensi untuk muncul sebagai pasaran pertumbuhan utama di luar dua negara tersebut hasil asas pengguna berpendapatan tinggi serta landskap pasaran yang semakin kompetitif.
#Prezcom