
NILAI, 4 Ogos 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa cabaran terbesar dalam melaksanakan reformasi negara bukan berpunca daripada kekurangan teknologi atau kepakaran, sebaliknya daripada keengganan segelintir pihak menerima perubahan termasuk mempertahankan budaya rasuah yang telah lama berakar dalam sistem.
Beliau berkata pengalaman menerajui pentadbiran kerajaan selama lebih tiga tahun menunjukkan usaha memperbetulkan sistem dan membanteras rasuah sering berdepan tentangan daripada pihak yang sudah lama selesa dengan amalan sedia ada. Menurutnya, reformasi lazimnya akan mencabar kedudukan, kepentingan dan kebiasaan yang dinikmati oleh kelompok tertentu.
Anwar berkata langkah kerajaan memperkukuh tatakelola dan meningkatkan integriti mungkin tidak popular, namun ia perlu diteruskan bagi memastikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih telus, berintegriti dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek, Nilai, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Dr Kartini Abdul Mutalib.
Perdana Menteri berkata berdasarkan teori perubahan, masyarakat lazimnya boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu mereka yang cenderung menerima pembaharuan dan mereka yang menolak perubahan.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa hanya masyarakat luar bandar atau golongan kurang berpendidikan sukar menerima perubahan. Sebaliknya, menurut beliau, golongan berpendidikan tinggi, intelektual serta mereka yang mempunyai kedudukan juga boleh menunjukkan sikap yang sama apabila perubahan menggugat kepentingan atau status quo mereka.
Anwar menegaskan reformasi perlu diteruskan secara konsisten bagi membina sistem pentadbiran yang lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti. Beliau turut menggesa generasi muda menjadi pemimpin yang berani menerima perubahan, berfikiran kritikal serta sentiasa memperbaiki diri demi memastikan masa depan negara dibangunkan atas asas tadbir urus yang baik dan integriti yang kukuh.
#Prezcom