
KUALA LUMPUR, 3 Augast 2026
Malaysia dikenakan tarif import sebanyak 10 peratus oleh Amerika Syarikat di bawah tindakan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 susulan siasatan Washington berhubung penguatkuasaan larangan terhadap import barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa.
Langkah itu diumumkan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dan berkuat kuasa selepas tamatnya tarif sementara yang dikenakan sebelum ini di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974. Malaysia merupakan antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, iaitu kadar terendah dalam pelaksanaan baharu tersebut.
Menurut USTR, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati 60 ekonomi gagal melaksanakan atau menguatkuasakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa mengikut piawaian Amerika Syarikat. Proses siasatan melibatkan pendengaran awam serta maklum balas daripada negara yang terlibat sebelum keputusan akhir dibuat.
Malaysia sebelum ini telah mengemukakan maklum balas rasmi kepada USTR dan mengambil bahagian dalam sesi pendengaran sepanjang siasatan dijalankan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut menegaskan bahawa Malaysia komited memperkukuh pematuhan terhadap piawaian buruh antarabangsa serta akan meneruskan libat urus dengan pihak Amerika Syarikat.
Walaupun tarif baharu dikenakan, beberapa kategori produk strategik termasuk minyak, gas asli, baja dan beberapa produk lain dikecualikan daripada tindakan tersebut.
Amerika Syarikat kekal antara pasaran eksport terbesar Malaysia, khususnya bagi sektor elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, produk getah serta pembuatan bernilai tinggi. Ahli ekonomi berpandangan kadar tarif 10 peratus dijangka memberi kesan yang lebih terurus berbanding cadangan tarif timbal balik yang lebih tinggi sebelum ini, namun perkembangan dasar perdagangan Amerika Syarikat masih perlu dipantau\
#Prezcom