
SHAH ALAM, 30 Julai 2026
Ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, sebenarnya telah dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan lebih RM36 juta selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan kira-kira tiga tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Rajpal Singh, yang berkata keputusan tersebut dibuat selepas AGC menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Menurut beliau, Nicky turut melunaskan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Pada 12 April 2022, Nicky mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap 26 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Mengikut pertuduhan, beliau bersama tiga syarikat didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, selain berdepan dua pertuduhan memiliki wang yang dikatakan hasil daripada aktiviti sama, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM36 juta.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara tahun 2016 hingga 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Menurut pihak pembelaan, keputusan AGC untuk tidak meneruskan pendakwaan menyebabkan Nicky Liow dilepas dan dibebaskan daripada semua 26 pertuduhan tersebut.
#Prezcom