
PUTRAJAYA, 27 Julai 2026
Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 apabila Litar Antarabangsa Sepang dipilih sebagai lokasi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026, menandakan kepulangan perlumbaan berprestij itu ke negara ini buat kali pertama sejak 2017.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) selepas Bahrain dan Arab Saudi menangguhkan perlumbaan asal susulan konflik di Asia Barat. Melalui aturan penggantian yang dipersetujui bersama, Sepang dipilih bagi memastikan kalendar Formula 1 musim 2026 dapat diteruskan.
Walaupun berlangsung di Malaysia, nama rasmi perlumbaan dikekalkan sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia selaras dengan persetujuan Formula 1, FIA dan Kerajaan Bahrain. Perlumbaan itu dijadualkan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, berkata Sepang mempunyai sejarah yang istimewa dalam Formula 1 sejak mula menjadi tuan rumah pada 1999 dan kekal dikenali sebagai antara litar paling mencabar kerana gabungan cuaca tropika, selekoh berkelajuan tinggi serta sokongan peminat yang luar biasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Stefano Domenicali sebelum persetujuan dicapai.
Menurut beliau, penganjuran itu bukan sahaja memperkukuh hubungan Malaysia dan Bahrain malah meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
Malaysia kali terakhir menganjurkan Formula 1 pada 2017 sebelum perlumbaan dihentikan berikutan kos penganjuran yang tinggi dan penurunan jumlah penonton. Sepanjang tempoh tersebut, Litar Antarabangsa Sepang terus menjadi venue utama MotoGP dan pelbagai kejohanan permotoran antarabangsa.
Kepulangan Formula 1 dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan, peruncitan serta perusahaan tempatan melalui peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa serta aktiviti ekonomi berkaitan.
Formula 1 turut memaklumkan bahawa perlumbaan di Sepang masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi World Motor Sport Council (WMSC) sebelum semua urusan operasi dimuktamadkan.
Sekiranya semua kelulusan diperoleh mengikut jadual, perlumbaan Oktober ini bakal menamatkan penantian hampir sembilan tahun peminat sukan permotoran negara untuk menyaksikan semula Formula 1 beraksi di Sepang.
#Prezcom