
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026
Seorang pengguna perkhidmatan telekomunikasi tampil mendapatkan bantuan portal berita Prezcom selepas mendakwa kehilangan baki kredit melebihi RM900 apabila nombor telefon miliknya ditamatkan oleh syarikat telekomunikasi U Mobile tanpa pengetahuan beliau.
Pengadu, yang tidak mahu namanya di siarkan hanya memberikan No Telefonnya supaya pihak UMobile boleh merujuk kes ini berkata beliau telah menggunakan nombor U Mobile berkenaan selama hampir tiga tahun bagi tujuan akses internet dan tidak pernah gagal atau lewat membuat pembayaran sepanjang tempoh tersebut.
Menurut beliau, baki kredit dalam akaunnya juga sentiasa mencukupi malah mempunyai lebihan kredit berjumlah lebih RM900.
Namun, masalah mula timbul apabila beliau tidak lagi dapat mengakses aplikasi U Mobile sejak beberapa bulan lalu.
“Apabila saya cuba log masuk ke aplikasi U Mobile, sistem hanya memaparkan mesej bahawa perkhidmatan tidak tersedia buat sementara waktu kerana sedang dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik.
“Disebabkan mesej itu, saya menganggap ia hanyalah proses penyelenggaraan sistem dan bukannya melibatkan isu akaun atau kredit,” katanya ketika berkongsi pengalamannya dengan Prezcom.
Beliau berkata, selepas beberapa ketika masih gagal mengakses aplikasi tersebut, beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan secara terus di pusat perkhidmatan U Mobile yang terletak di Setapak Sentral Mall.
Bagaimanapun, beliau terkejut apabila dimaklumkan oleh petugas bahawa nombor telefon berkenaan telah ditamatkan perkhidmatan dan baki kredit yang terdapat dalam akaun tersebut telah dilupuskan.
“Saya tidak menyalahkan petugas kaunter kerana saya faham perkara itu berada di luar bidang kuasa mereka.
“Namun saya berpendapat tindakan sedemikian tidak wajar kerana saya tidak pernah gagal membuat bayaran. Malah saya mempunyai baki kredit yang besar dalam akaun,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa syarikat telekomunikasi berkenaan tidak menggunakan baki kredit sedia ada untuk mengekalkan status aktif akaun pengguna sekiranya benar terdapat isu berkaitan tempoh sah atau keperluan pembaharuan perkhidmatan.

“Ini bukan soal saya tidak membayar bil. Wang saya masih ada dalam akaun. Jika terdapat sebarang caj atau keperluan untuk mengekalkan akaun aktif, sistem boleh sahaja menolak daripada baki kredit yang masih berbaki.
“Persoalan saya, adakah pengguna dimaklumkan dengan jelas mengenai perkara ini semasa pendaftaran dibuat? Adakah notis atau peringatan telah dihantar kepada pengguna sebelum tindakan penamatan dilakukan?” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa pengguna lain mungkin berdepan nasib sama sekiranya tidak memahami sepenuhnya terma dan syarat yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Menurutnya lagi, usaha untuk mendapatkan saluran aduan rasmi juga berdepan kesukaran apabila pautan aduan penyedia perkhidmatan yang dirujuk melalui laman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak dapat diakses.
“Saya cuba membuat aduan mengikut prosedur yang disarankan. Namun apabila saya menekan pautan yang disediakan, sistem memaparkan mesej ‘Oops, laman ini tidak ditemui’.
“Keadaan ini menyebabkan saya berasa amat sukar untuk mendapatkan Complaint ID daripada penyedia perkhidmatan sebelum aduan boleh dikemukakan kepada pihak MCMC,” katanya.
Beliau berharap pihak MCMC dapat menyiasat perkara tersebut serta menilai sama ada pengguna telah diberikan maklumat yang mencukupi berkaitan risiko penamatan akaun dan pelupusan baki kredit.
Selain itu, beliau turut memohon agar baki wang yang didakwa masih terdapat dalam akaunnya dipulangkan semula sekiranya siasatan mendapati tindakan tersebut tidak mematuhi hak pengguna.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat meneliti isu ini demi melindungi kepentingan pengguna lain agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Perkhidmatan telekomunikasi merupakan keperluan asas masyarakat hari ini dan proses aduan perlu lebih mesra pengguna serta mudah diakses oleh rakyat,” katanya.
Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi diterima daripada U Mobile berhubung dakwaan tersebut.
Nota Editor: Artikel ini diterbitkan berdasarkan aduan dan dakwaan yang dikemukakan oleh pengadu kepada Prezcom. Pihak U Mobile dan MCMC berhak memberikan maklum balas atau penjelasan rasmi bagi memastikan semua pihak mendapat ruang yang adil untuk menjelaskan kedudukan masing-masing.
No Telefon UMobile: 01162260599 Untuk Rujukan Akaun.
#Prezcom