Dari kiri Raja Nazrin Shah, Aizat Hamdan, Raja Nazmin shah, Anas Amdan

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026

Penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan membuka dimensi baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, hasil kolaborasi bersama kumpulan post-hardcore tempatan Sekumpulan Orang Gila atau lebih dikenali sebagai SOG.

Single tersebut diperkenalkan dalam satu sidang media yang berlangsung di Roberts Theatre, The Campus Ampang baru-baru ini, dengan kehadiran penggiat industri muzik, media serta peminat kedua-dua artis yang mahu menyaksikan gabungan dua identiti muzik yang selama ini dilihat berbeza.

“Ajar Aku” tampil dengan pendekatan eksperimental yang menggabungkan elemen balada emosional dan bunyi agresif post-hardcore, sekali gus mencipta identiti muzik yang lebih berani dan tidak konvensional dalam arus perdana tempatan.

Menurut Aizat, lagu itu bukan sekadar percubaan muzik, tetapi membawa mesej yang dekat dengan realiti kehidupan manusia, khususnya berkaitan ego, penerimaan dan keberanian untuk terus belajar daripada orang lain.

Beliau berkata, tema “Ajar Aku” lahir daripada pemerhatian terhadap sifat manusia yang kadangkala terlalu ego untuk menerima nasihat atau bimbingan, sedangkan proses pembelajaran merupakan sebahagian penting dalam membentuk kematangan diri.

“Ia tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadangkala kita terlalu ego untuk menerima nasihat, sedangkan proses belajar itu adalah sebahagian daripada perkara yang menjadikan kita lebih matang,” katanya ketika sidang media pelancaran single berkenaan.

Kolaborasi antara Aizat dan SOG turut dilihat sebagai satu percubaan berani dalam industri muzik tempatan yang kini semakin terbuka terhadap pencampuran genre dan eksplorasi identiti bunyi baharu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trend kolaborasi rentas genre semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda, terutama di platform penstriman digital yang memberi ruang lebih luas kepada eksperimen kreatif.

Aizat berharap “Ajar Aku” dapat diterima bukan sekadar sebagai hiburan, tetapi juga sebagai karya yang mempunyai nilai kesedaran dan emosi kepada pendengar. Beliau menyifatkan lagu itu sebagai gabungan pengalaman hidup, perjalanan kerjaya dan refleksi terhadap hubungan manusia dengan orang sekeliling.

Sementara itu, penglibatan SOG dalam projek tersebut turut memperlihatkan keberanian kumpulan itu untuk keluar daripada zon selesa mereka tanpa meninggalkan identiti muzik yang menjadi kekuatan utama kumpulan berkenaan.

Single “Ajar Aku” kini boleh didengarkan menerusi pelbagai platform digital termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube.  Lagu itu dihasilkan oleh barisan komposer terdiri daripada Aizat Amdan, Raja Nazrin Shah, Raja Nazmin Shah dan Anas Amdan.

#Prezcom