CYBERJAYA, 4/42025

Sindiket penipuan dalam talian kini mampu mengosongkan antara 80 hingga 90 peratus wang simpanan mangsa dalam tempoh seawal tiga hingga 10 minit melalui rangkaian akaun keldai berlapis, menurut Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menjelaskan, taktik sindiket yang memecahkan transaksi kepada jumlah kecil antara RM1,000 hingga RM3,000 menyebabkan pemindahan wang tersebut tidak segera mencetuskan amaran sistem keselamatan perbankan. Dalam tempoh beberapa minit sahaja, dana mangsa sudah diagihkan ke beberapa lapisan akaun berbeza, sekali gus merumitkan proses pengesanan dan siasatan.

Saifuddin berkata demikian selepas pelancaran Pusat Respons Penipuan Kebangsaan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Cyberjaya hari ini.

Menurutnya, satu hingga dua jam pertama selepas mangsa menyedari berlaku penipuan merupakan tempoh paling kritikal untuk menyekat aliran dana. Laporan segera ke talian 997 membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pembekuan akaun sebelum wang dipindahkan ke lapisan seterusnya.

Beliau memaklumkan bahawa proses di bawah Pusat Respons Penipuan Kebangsaan atau NSRC melibatkan tiga tindakan utama iaitu sekat, siasat dan pulangkan. Tindakan pantas ini menjadi faktor penentu sama ada wang dapat diselamatkan atau tidak.

Setakat Januari tahun ini, sebanyak 35,322 panggilan aduan diterima, dengan RM1.44 juta berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal. Sepanjang 2025 pula, NSRC mengendalikan 146,167 panggilan aduan dan melaksanakan pembekuan terhadap 138,915 akaun yang disyaki terlibat.

Hasil tindakan segera itu, sejumlah RM34.05 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket. Dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa, jumlah yang dipulangkan meningkat ketara daripada RM508,479.39 pada 2024 kepada RM6,649,171.03 pada 2025.

NSRC beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri dan diterajui Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Lonjakan jumlah panggilan yang diterima menurut Saifuddin menjadi petunjuk bahawa keyakinan orang awam terhadap mekanisme aduan semakin meningkat. Namun, hakikat bahawa sindiket mampu memindahkan hampir keseluruhan simpanan mangsa dalam masa kurang 10 minit menunjukkan tahap kecanggihan operasi jenayah kewangan digital semakin membimbangkan.

Dalam landskap transaksi tanpa tunai yang semakin meluas, kelewatan melaporkan insiden walaupun beberapa minit boleh membawa kerugian besar. Justeru, kesedaran untuk bertindak segera bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan mendesak bagi melindungi wang simpanan rakyat.

#Prezcom