
PORT DICKSON 13/2/2026
Institut Sosial Malaysia melalui Pusat Pengajian Pembangunan Komuniti menganjurkan Bengkel Sukarelawan Peringkat Pertengahan Siri 1/2026 selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Februari 2026 di Hotel Avillion, Port Dickson, dengan fokus memperkukuh kompetensi dan impak kerja kesukarelawanan di peringkat pertengahan.
Program anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai komuniti, sukarelawan berpengalaman serta wakil pertubuhan bukan kerajaan. Bengkel tersebut memberi penekanan kepada pendekatan lebih sistematik dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kesukarelawanan agar manfaat yang diterima golongan sasar lebih maksimum dan berkesan.

Antara pengisian utama termasuk pendedahan kepada konsep dan proses pelaksanaan program sukarelawan menggunakan kaedah dan teknik yang bersesuaian. Peserta turut diperkenalkan kepada pengurusan pangkalan data sukarelawan, strategi mengurus tekanan ketika bertugas serta teknik membina kepercayaan dan memenangi hati kumpulan sasar semasa berada di lapangan.
Dalam sesi temu bual bersama wartawan, Coach Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari berkongsi pandangan beliau mengenai perkembangan penglibatan sukarelawan di Malaysia. Beliau yang mempunyai hampir 20 tahun pengalaman dalam bidang kesukarelawanan menyatakan bahawa penyertaan golongan muda dalam majlis ilmu dan bengkel pembangunan diri seperti ini masih belum mencapai tahap memberangsangkan.
Menurut beliau, majoriti peserta yang hadir terdiri daripada generasi X serta ada juga penglibatan pesara kerajaan, manakala penglibatan belia masih perlu diperkasakan. Coach Megat mencadangkan agar kerajaan mempertingkat pengiktirafan sukarelawan ke tahap lebih profesional, bukan sekadar bergantung kepada sijil penyertaan atau program mikro kredit semata-mata.
Beliau membuat perbandingan dengan kejayaan usaha kerajaan memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET Malaysia, yang kini mendapat pengiktirafan meluas sebagai laluan kerjaya berprestij. Katanya, pendekatan sama wajar dipertimbangkan bagi sektor kesukarelawanan memandangkan ramai sukarelawan aktif memiliki pengalaman belasan tahun dalam pengurusan komuniti dan bantuan kemanusiaan.
“Ramai sukarelawan berpengalaman luas tetapi sumbangan mereka tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Kita tahu mereka tidak pernah meminta balasan kerana mereka ‘berjiwa sukarela’ namun pengiktirafan ini bukan hanya untuk mereka tetapi bagi memastikan aktiviti dan penglibatan masyarakat didalam gerakkerja sukarelawan terus subur” katanya, sambil menambah bahawa pengiktirafan formal mampu menarik minat generasi muda untuk melihat kesukarelawanan sebagai bidang pembangunan diri dan kepimpinan yang serius.
Bengkel ini juga dilihat selari dengan keperluan negara memperkukuh daya tahan sosial dalam menghadapi cabaran semasa seperti bencana alam, krisis kesihatan awam dan isu kesejahteraan komuniti. Dengan pendekatan latihan berstruktur, ISM berusaha memastikan sukarelawan bukan sahaja bersemangat membantu, tetapi turut dilengkapi kemahiran pengurusan, komunikasi dan empati.

Pelaksanaan Bengkel Sukarelawan Peringkat Pertengahan Siri 1/2026 membuktikan komitmen ISM dalam memperkasakan kapasiti dan profesionalisme sektor kesukarelawanan negara. Usaha ini bukan sekadar membina kemahiran teknikal, tetapi membuka perbincangan lebih besar mengenai keperluan pengiktirafan formal terhadap sumbangan sukarelawan sebagai aset penting pembangunan masyarakat.
#Prezcom