
Oleh: Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari
Kuala Lumpur 6 Januari 2026.
Pada 4 Januari 1903, seekor gajah Asia bernama Topsy dihukum mati melalui renjatan elektrik di sebuah taman hiburan di Amerika Syarikat. Lebih satu abad telah berlalu, namun kisah ini masih relevan untuk direnungkan bukan sekadar sebagai sejarah kekejaman terhadap haiwan, tetapi sebagai cerminan bagaimana kuasa, sistem dan persepsi awam boleh gagal apabila empati diketepikan.
Dalam konteks Malaysia, kisah Topsy wajar dibaca bukan sebagai cerita asing dari Barat, tetapi sebagai amaran halus terhadap kecenderungan manusia termasuk masyarakat kita untuk menghukum impak tanpa memahami punca.
Malaysia bukan asing kepada konflik antara manusia dan haiwan. Kes pencerobohan habitat gajah liar, harimau, beruang matahari dan monyet sering dilaporkan, terutamanya di kawasan pembangunan baharu dan ladang berskala besar. Apabila konflik berlaku, naratif awam sering tertumpu kepada label “haiwan ganas” atau “ancaman keselamatan”, tanpa perbincangan mendalam tentang perubahan ekosistem, kehilangan habitat dan tekanan berpanjangan yang dialami haiwan tersebut tidak kita persoalkan.
Dalam banyak kes, haiwan menjadi “bersalah” kerana bertindak balas terhadap persekitaran yang telah diubah oleh manusia.
Tragedi Topsy mengajar kita bahawa keganasan tidak berlaku dalam vakum. Topsy tidak dilahirkan agresif. Rekod sejarah menunjukkan dia dibentuk oleh persekitaran sarkas yang keras, latihan berasaskan hukuman, dan eksploitasi berterusan untuk hiburan manusia. Apabila akhirnya berlaku insiden melibatkan manusia, sistem yang sama memilih untuk menamatkan riwayatnya, bukannya menilai kegagalan pengurusan dan etika di sebalik eksploitasi tersebut.
Fenomena ini sebenarnya dekat dengan realiti sosial Malaysia hari ini.
Dalam isu sosial, pendidikan, pekerjaan atau jenayah, masyarakat kita masih cenderung menghukum individu dengan pantas sama ada ‘pelajar bermasalah, pekerja berprestasi rendah, atau golongan terpinggir’ tanpa mahu memahami apakah sistem yang membentuk tingkah laku tersebut. Pendekatan reaktif ini sering mengabaikan faktor struktur seperti tekanan ekonomi, budaya organisasi, ketidakseimbangan kuasa dan kegagalan sokongan institusi.
Dalam konteks ini, Topsy bukan sekadar gajah. Topsy ialah simbol bagaimana sistem boleh melepaskan tanggungjawab dengan menuding jari kepada “hasil”, bukan “sebab”.
Lebih membimbangkan, tragedi Topsy turut didorong oleh sokongan awam dan liputan media pada zamannya, yang menghalalkan hukuman atas nama keselamatan dan hiburan. Ini mengingatkan kita kepada peranan media dan wacana awam di Malaysia hari ini sama ada kita sedang mendidik masyarakat untuk berfikir secara berimbang, atau sekadar mempercepatkan penghakiman tanpa empati.
Malaysia telah menunjukkan kemajuan dalam perlindungan kebajikan haiwan dan kesedaran alam sekitar. Namun, kisah Topsy mengingatkan kita bahawa kemajuan undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa perubahan sikap. Keupayaan untuk bertanya “mengapa ini berlaku” sebelum bertanya “siapa harus dihukum” adalah tanda kematangan masyarakat.
Tragedi 124 tahun lalu ini akhirnya mengajarkan satu kebenaran universal: apabila kuasa digunakan tanpa kefahaman, dan sistem enggan memikul tanggungjawabnya sendiri, yang menjadi mangsa bukan sahaja individu atau haiwan, tetapi nilai kemanusiaan itu sendiri.
Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari
www.facebook.com/coachmegat
———–
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator
Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.
Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.
Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.
“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”
———–
Disclaimer:
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.
#Prezcom