
KUALA LUMPUR, 26 Disember 2025
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Ops Tindakan Khas Larangan Meludah di beberapa kawasan tumpuan sekitar ibu kota susulan aduan dan pemerhatian berhubung perbuatan meludah di tempat awam yang mencemarkan persekitaran serta menjejaskan imej bandar raya.
Operasi penguatkuasaan ini dijalankan di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan orang ramai, antaranya Jalan Kancil, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Lebuh Pudu dan Jalan Petaling. Sepanjang pemantauan, DBKL mendapati kesan ludahan, khususnya sisa sirih, jelas kelihatan di kaki lima, penutup longkang, tong sampah serta dinding premis perniagaan.
Menurut DBKL, keadaan tersebut bukan sahaja mencemarkan kebersihan persekitaran awam, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap tahap kebersihan dan pengurusan bandar raya, terutama di kawasan yang sering dikunjungi pelancong serta warga kota.
Dalam pelaksanaan operasi ini, DBKL mengambil pendekatan mendidik dengan memberi nasihat secara langsung kepada individu yang dikesan meludah di tempat awam. Selain itu, pemilik premis perniagaan turut dinasihatkan supaya tidak menjual atau membekalkan bahan tertentu yang boleh mendorong perlakuan meludah, termasuk bahan berkaitan sirih.
Pendekatan berperingkat ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, khususnya dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bersih dan berdaya huni.
DBKL menegaskan bahawa perbuatan meludah di tempat awam adalah satu kesalahan di bawah peraturan sedia ada. Tindakan lebih tegas, termasuk penguatkuasaan undang-undang dan pengeluaran kompaun, boleh dikenakan sekiranya kesalahan berulang dikesan.
Langkah ini dilihat penting bagi membendung tabiat yang menjejaskan kebersihan awam, selain melindungi kesihatan komuniti dan imej ibu negara sebagai bandar raya moden. Kerjasama masyarakat, peniaga dan pengunjung amat diperlukan bagi memastikan usaha ini berkesan dan berterusan.
Ops Tindakan Khas Larangan Meludah mencerminkan komitmen DBKL dalam mengekalkan tahap kebersihan dan keselesaan persekitaran bandar. Dengan gabungan pendekatan nasihat dan penguatkuasaan, DBKL berharap kesedaran awam dapat dipertingkatkan agar Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang bersih, selesa dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
#Prezcom