
Kuala Lumpur, 6 Disember 2025
Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menyambut baik pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang diluluskan di Dewan Rakyat dan dibentangkan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia. Pindaan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem TVET negara serta melonjakkan pengiktirafan kepakaran tenaga mahir Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan pindaan tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut mengumumkan pelantikan MBOT sebagai anggota Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK). Langkah ini dijangka memberikan nilai tambah signifikan melalui sumbangan input berfokus kepada peningkatan profesionalisme, penetapan standard kemahiran dan pembangunan kapasiti tenaga kerja mahir negara.
Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Ketiga 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerja separa mahir membentuk 56.5 peratus atau 9.60 juta orang daripada keseluruhan tenaga kerja. Pekerja mahir pula mencatatkan 30.2 peratus atau 5.13 juta orang. Statistik ini menzahirkan keperluan strategik bagi MBOT untuk terus memperkukuh tenaga kerja mahir serta pengiktirafan profesional bagi meningkatkan kualiti modal insan negara.
Dengan lebih 110,000 Teknologis dan Juruteknik berdaftar merentasi pelbagai disiplin teknologi, MBOT akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan ekosistem TVET kekal mampan, relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Sumber:
1. Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
2. Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). MBOT ialah sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal. MBOT ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) bagi mengiktiraf serta membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas
#Prezcom