
Kuala Lumpur, 27 November 2025
Untuk pertama kalinya dalam sejarah meteorologi Malaysia, sebuah sistem tekanan rendah di Selat Melaka telah berkembang menjadi ribut tropika, dinamakan Ribut Tropika Senyar. Sistem cuaca luar biasa ini dikesan pada latitud 4.5° Utara dan longitud 97.9° Timur, dan dijangka membawa hujan lebat, angin kencang dan lautan bergelora ke pantai barat Semenanjung. Amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dikeluarkan seawal pagi tadi agar penduduk di kawasan pantai bersiap siaga.
Ribut Tropika Senyar kini berada sekitar 284 kilometer barat daya George Town, Pulau Pinang, bergerak ke arah barat-barat daya pada kelajuan 9 kilometer sejam dengan angin maksimum dianggarkan 83 kilometer sejam. Peringatan cuaca buruk telah dikeluarkan untuk negeri-negeri utara dan barat Semenanjung serta kawasan perairan berdekatan.
Fenomena ini amat luar biasa kerana Selat Melaka sejak dulu dikenal sebagai perairan sempit dan cetek dan antara faktor yang menurut pemahaman klimatologi antarabangsa kurang kondusif untuk kelahiran siklon tropika. Namun pada 22 November 2025, sistem tekanan rendah mula dikesan berkembang di utara Selat Melaka. Dalam tempoh tiga hari, sistem itu menampakkan pengukuhan sehingga diisytiharkan sebagai ribut tropika oleh beberapa agensi meteorologi.
Sejarah menunjukkan hanya dua ribut/taufan tropika tercatat pernah membuat landasan di tanah besar Malaysia iaitu Taufan Vamei pada 2001 dan Ribut Tropika Greg pada 1996. Kini berlaku fenomena ketiga, dan yang pertama terbentuk secara langsung di Selat Melaka.
Menurut penganalisis cuaca, kelahiran Senyar membawa implikasi serius terhadap keselamatan marin, komuniti pesisir dan aktiviti ekonomi seperti perkapalan serta nelayan. Laut bergelora dan angin kencang dikhuatiri menyebabkan hakisan pantai, kerosakan infrastruktur dan gangguan bekalan perkhidmatan asas.
MetMalaysia telah mengeluarkan amaran pergerakan laut bergelora dan angin kuat bagi seluruh pantai barat semenanjung. Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memantau taklimat cuaca rasmi melalui platform digital myCuaca, media sosial rasmi dan saluran radio/TV tempatan.
Fenomena Ribut Tropika Senyar bukan sahaja mengejutkan komuniti meteorologi, malah menimbulkan tanda tanya mengenai perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca tropika di Asia Tenggara. Menurut data rasmi, kebanyakan taufan tropika yang pernah memberi impak kepada Malaysia berasal dari Laut China Selatan atau Asia Timur; pembentukan ribut di Selat Melaka dianggap sebagai luar kebiasaan kerana jaraknya terlalu dekat ke khatulistiwa, menjadikan Kesan Coriolis kurang berkesan untuk pembentukan taufan.
Bagi sektor maritim dan komuniti pesisir, kejadian ini menggariskan keperluan mendesak untuk menyemak semula piawaian keselamatan laut, pelan evakuasi dan kesiapsiagaan bencana. Struktur perlindungan pantai, sistem amaran awal dan akses kepada maklumat cuaca tepat masanya harus dipertingkat agar impak negatif dapat diminimumkan.
Pembentukan Ribut Tropika Senyar di Selat Melaka mencatat sejarah baharu dalam rekod cuaca negara. Ancaman hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora sudah nyata di hadapan mata. Penduduk pesisir, komuniti nelayan dan pengguna laut digesa berwaspada, manakala pihak berkuasa dan badan berkaitan diharap mempercepatkan pelaksanaan langkah kesiapsiagaan, penguatkuasaan amaran dan bantuan kecemasan.
#Prezcom