Budaya ‘Shortcut’ Hanya Merencatkan Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR, 12 Nov 2025

Hasrat membina keupayaan sebenar negara sering tergelincir apabila budaya “jalan pintas” menguasai cara kita berfikir dan bekerja. Empat dekad selepas PROTON dilancarkan pada tahun 1983, hampir separuh pegangan syarikat itu dijual kepada Geely pada tahun 2017. Langkah itu mencerminkan kebergantungan kita kepada bantuan luar, walaupun cita-cita asal adalah untuk melahirkan industri automotif nasional yang berdikari. Dalam masa yang sama senario yang sedikit berbeza namum memberikan imapk yang besar apabila Korea Selatan melaburkan sekitar 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), sedangkan Malaysia kekal di bawah 1 peratus. Perbezaan ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran tentang falsafah kerja yang berbeza antara budaya inoasi dan budaya meniru.

Kronologi, Fakta dan Hujah

1. Industri Automotif: Milik Jenama Belum Tentu Milik Teknologi: PROTON ditubuhkan pada tahun 1983 sebagai simbol kebangkitan industri negara. Namun, setelah bertahun-tahun disokong dasar perlindungan dan subsidi kerajaan, DRB-HICOM akhirnya menjual 49.9 peratus pegangan PROTON kepada Zhejiang Geely pada Mei 2017. Walaupun langkah itu membuka peluang pemindahan teknologi dan pasaran antarabangsa, ia juga menjadi cerminan bahawa pemilikan jenama tanpa pelaburan dalam R&D tidak cukup untuk menandingi pesaing serantau.

2. Data R&D Yang Menceritakan Segalanya: Laporan Indeks Inovasi Global 2024 merekodkan bahawa perbelanjaan R&D Malaysia hanya sekitar 0.95 peratus daripada KDNK pada tahun 2020. Sebaliknya, Korea Selatan mencatat 5.21 peratus pada tahun 2022, menjadikannya antara negara paling komited terhadap penyelidikan di dunia. Laporan OECD 2024 pula menunjukkan peratusan Korea kekal konsisten sekitar 5.2 peratus. Jurang ini menggambarkan bukan sahaja perbezaan ekonomi, tetapi juga perbezaan prinsip: satu bangsa membina ilmu, manakala satu lagi hanya menggunakannya.

3. Bola Sepak: Keputusan Cepat, Ekosistem Lambat: Budaya “cepat mahu menang” juga jelas dalam arena bola sepak. Pentadbiran bola sepak kebangsaan sering mencari kejayaan segera melalui pemain import atau naturalisasi, sedangkan negara seperti Jepun membina sistem pembangunan akar umbi selama berdekad-dekad. Hasilnya, Jepun kini layak ke Piala Dunia sebanyak lapan kali berturut-turut sehingga edisi 2026 sementara negara kita Malaysia kekal di takuk yang sama.

Sekiranya di lihat dari segi sejarah negara kita Malaysia pernah menewaskan Korea Selatan 2–1 pada pusingan kelayakan Olimpik Moscow 1980 untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, namun kejayaan itu tidak berpanjangan kerana kita gagal membina sistem yang berterusan. Jepun dan Korea Selatan membuktikan bahawa disiplin dan pelaburan jangka panjang jauh lebih berkesan daripada strategi sementara.

4. Akibat Mentaliti Cepat Siap: Apabila model pembangunan terlalu bergantung kepada idea dan kepakaran luar, bakat tempatan tidak berkembang. Ramai graduan kejuruteraan berakhir sebagai pemandu e-hailing kerana industri tempatan kurang ruang untuk inovasi. Banyak organisasi pula lebih gemar menempah kempen pemasaran berbanding membina kemampuan reka bentuk dan kejuruteraan sendiri. Akibatnya, produk kelihatan moden di luar, tetapi teknologi dan sistemnya masih diimport.

Visualisasi Konteks: Apa Yang Angka Tunjukkan
Mari kita lihat semula dan buka mata lihat dan baca dengan fakta;

  1. R&D Malaysia: 0.95 peratus daripada KDNK (2020). Kerajaan mensasarkan peningkatan melalui pelibatan sektor swasta dan awam secara lebih seimbang.
  2. R&D Korea Selatan: 5.21 peratus daripada KDNK (2022) menurut WIPO dan diiktiraf OECD sebagai antara yang tertinggi di dunia.
  3. Automotif Nasional: Penjualan 49.9 peratus Proton kepada Geely pada 2017 mencerminkan keperluan kepada jaringan global, tetapi nilai tambah jangka panjang tetap datang daripada inovasi tempatan yang dibina dari dalam negara.
  4. Bola Sepak Asia: Jepun mara ke Piala Dunia secara konsisten hasil pembangunan akar umbi, bukannya strategi import sementara.

Implikasi dan Cadangan Praktikal Untuk Malaysia
Jadi apa yang perlu dilakukan? Mari kita tukar sifat mengkritik menjadi teguran dengan memberikan beberapa cadangan supaya keadaan menjadi lebih progresif.

  1. Menetapkan Perbelanjaan Minimum R&D: Kerajaan wajar menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada KDNK dalam tempoh lima tahun pertama, dengan insentif cukai tambahan bagi syarikat yang menubuhkan pusat R&D di Malaysia.
  2. Mengukuhkan Kerjasama Universiti dan Industri: Geran penyelidikan harus diikat dengan hasil komersialisasi sebenar seperti pelesenan paten atau jualan produk inovatif.
  3. Meningkatkan Tahap Kejuruteraan Tempatan: Dalam industri automotif, Malaysia perlu melangkah daripada hanya pemasangan kepada reka bentuk dan pembangunan teknologi kenderaan yang dikendalikan oleh jurutera tempatan.
  4. Mengubah KPI Kejayaan: Penilaian prestasi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan perlu menilai pencapaian jangka panjang, bukan hanya projek yang cepat siap tetapi tidak bertahan.
    Sekejap! tadi cerita bola jadi bagaimana pula dengan bolasepak? Ye bolasaepak juga tidak tertinggal.
  5. Membangunkan Bola Sepak Akar Umbi: FAM perlu memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti padang, lesen jurulatih, akademi belia dan liga sekolah agar bakat muda dapat dilatih secara sistematik.

Kemajuan yang berkekalan tidak datang daripada jalan pintas, tetapi melalui disiplin dan kesabaran dalam membina asas yang kukuh. Kisah PROTON mengajar kita perbezaan antara memiliki jenama dan menguasai teknologi, manakala kejayaan Jepun di pentas bola sepak dunia menunjukkan bahawa usaha berterusan lebih penting daripada penyelesaian segera. Jika Malaysia benar-benar ingin dihormati sebagai negara pembangun yang matang, kita mesti berhenti mencari jalan cepat atau bermentaliti ‘shortcut’ dan mula menghargai proses pembinaan sebenar. Hanya melalui keberanian untuk mencipta dan bekerja keras, kita mampu melahirkan pencapaian yang kekal.

#Prezcom

Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari

———–
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator & Business Coach

Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.

Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.

Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.

“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”

———–

Disclaimer:

Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.