
KUALA LUMPUR, 8 November
Insiden antara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dengan seorang wartawan baru-baru ini menjadi tumpuan nasional apabila cara beliau menangani pertanyaan media dikritik sebagai tidak profesional dan bertentangan dengan semangat keterbukaan kerajaan Madani. Kejadian itu bukan sekadar episod kecil, tetapi mencerminkan kelemahan mendasar dalam pengurusan komunikasi krisis oleh sebahagian pemimpin kerajaan ketika menghadapi tekanan awam.
Dalam era digital yang serba pantas, kepercayaan awam terhadap kerajaan bukan lagi ditentukan semata-mata oleh dasar dan tindakan, tetapi juga oleh cara pemimpin berkomunikasi. Setiap kata, nada suara, dan bahasa tubuh boleh menentukan sama ada rakyat melihat seseorang menteri sebagai telus dan bertanggungjawab atau sebaliknya.
Insiden yang melibatkan Nga Kor Ming berlaku ketika Malaysia sedang bersiap sedia menyambut Visit Malaysia Year (VMY) 2026, satu kempen besar yang memerlukan komunikasi strategik dan imej nasional yang kukuh. Namun, cara beliau menjawab pertanyaan wartawan berkenaan isu bahasa dan promosi kempen itu telah mencetuskan gelombang kritikan awam dan media.
Sebaliknya daripada menamatkan polemik dengan tindakan pantas berasaskan prinsip komunikasi krisis; Acknowledge, Apologise, Action, Empathy, and Thank You (3AET) — keadaan menjadi semakin tegang apabila beliau mempertahankan tindakannya secara terbuka dan pada masa yang sama mengumumkan majlis makan malam serta anugerah untuk wartawan, tatkala isu masih belum reda. Walaupun permohonan maaf kemudian dibuat, persepsi awam telah pun terjejas.
Dalam era media sosial, persepsi terbentuk lebih pantas daripada fakta. Setiap kenyataan dan reaksi pemimpin akan dirakam, disebarkan, dan dinilai dalam masa beberapa saat. Dalam konteks ini, kes Nga Kor Ming bukan sekadar isu komunikasi peribadi, tetapi satu refleksi kelemahan institusi dalam pengurusan hubungan media yang sistematik di kalangan barisan kepimpinan kerajaan Madani.
Sejarah menunjukkan betapa komunikasi yang lemah mampu menenggelamkan keputusan operasi yang baik. Tragedi MH370 misalnya memperlihatkan tindakan kerajaan yang cepat dan tersusun, namun mesej yang bercelaru menyebabkan kekeliruan besar di peringkat antarabangsa. Pelajaran utama daripada sejarah itu jelas — dasar yang baik boleh gagal apabila mesej tidak disampaikan dengan tepat dan berempati.
Begitu juga dalam kes Nga, kekurangan latihan komunikasi krisis menyebabkan situasi kecil bertukar menjadi isu besar yang mencalarkan kredibiliti kepimpinan. Keadaan ini menimbulkan persoalan lebih luas: sejauh mana barisan pemimpin kerajaan Madani benar-benar bersedia menghadapi tekanan media dan mengurus persepsi awam?
Pakar komunikasi menegaskan bahawa setiap pemimpin, sama ada menteri, timbalan menteri atau setiausaha akhbar, perlu menjalani latihan komunikasi krisis secara berkala. Latihan ini bukan sekadar untuk menjawab soalan media, tetapi juga bagi membina keyakinan, empati, dan ketenangan apabila berdepan pertanyaan sensitif.
Penguasaan prinsip 3AET — mengakui isu dengan jelas (Acknowledge), memohon maaf dengan ikhlas (Apologise), mengambil tindakan segera (Action), menunjukkan empati (Empathy), dan menutup dengan penghargaan (Thank You) — adalah asas membina semula kepercayaan rakyat. Ia juga membezakan antara pemimpin yang defensif dengan pemimpin yang berintegriti.
Dalam konteks pentadbiran Madani, komunikasi strategik bukan sekadar berhubung dengan wartawan, tetapi membentuk naratif nasional yang diyakini oleh rakyat dan dihormati dunia luar. Setiap sidang media dan kenyataan rasmi kini menjadi cermin kepada imej negara Malaysia di mata antarabangsa.
Menjelang Visit Malaysia Year 2026, kepimpinan negara perlu memahami bahawa komunikasi bukan hanya mengenai penyampaian maklumat, tetapi juga tentang mengurus emosi awam dan membina kepercayaan. Dunia akan memerhati bukan sahaja keindahan destinasi Malaysia, tetapi juga cara pemimpinnya berinteraksi, menjawab soalan sukar, dan memaparkan integriti.
Kerajaan Madani disarankan untuk melaksanakan latihan komunikasi krisis dan media secara menyeluruh kepada semua lapisan kepimpinan kerajaan. Modul latihan ini harus menekankan kemahiran menjawab dengan tenang, membina empati dengan wartawan, dan mengurus persepsi dalam situasi tegang.
Sebagai langkah segera, setiap kementerian perlu menilai semula protokol media mereka dan memastikan pegawai komunikasi awam dilatih dengan standard antarabangsa. Malaysia tidak boleh berisiko menghadapi krisis persepsi semasa dunia memberi tumpuan penuh kepada kempen pelancongan terbesar negara.
Insiden Nga Kor Ming menjadi cermin kepada cabaran komunikasi dalam era keterbukaan. Ia menunjukkan bahawa dalam dunia di mana setiap perkataan boleh tular dalam beberapa saat, kredibiliti bukan lagi bergantung kepada kuasa, tetapi kepada kejelasan, kejujuran, dan kecekapan berkomunikasi.
Kerajaan Madani telah mencapai kemajuan besar dalam tadbir urus dan pembaharuan, namun kekuatan komunikasi krisis mesti menjadi keutamaan seterusnya. Dengan melabur dalam latihan komunikasi profesional, Malaysia bukan sahaja memperkukuh imej kepimpinannya, tetapi juga memastikan suara negara didengar dengan hormat, jelas, dan berwibawa di peringkat antarabangsa.
#Prezcom