
PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2025
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil maklum susulan daripada isu tular di media sosial yang memaparkan seorang warga emas wanita tidak mempunyai tempat tinggal dan berkeliaran di sekitar kawasan Restoran Al-Ibrahim Maju, Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.
Laporan telah diterima oleh JKM WPKL pada 6 Oktober 2025 dan kes diselesaikan pada hari yang sama dengan mengambil wanita tersebut yang merupakan seorang warganegara Malaysia berbangsa Melayu. Hasil siasatan awal mendapati individu berkenaan berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu berjalan sendiri di mana pergerakan beliau hanya boleh dilakukan dengan bantuan kerusi roda. Difahamkan sebelum ini, penama dijaga oleh seorang rakan, namun telah ditinggalkan sejak
minggu lalu.
Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan individu tersebut, beliau telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan dan mendapati keadaan kesihatannya adalah stabil. Walaubagaimanapun, pihak klinik tidak dapat mengesahkan status penyakit tibi yang pernah dihidapi memandangkan penama merupakan pesakit rawatan susulan di Institut Perubatan Respiratori (IPR)
Selepas pemeriksaan, penama telah dibawa ke institusi JKM iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk penjagaan sementara selama 24 jam. Bagi tujuan pencegahan dan kawalan kesihatan, penama telah ditempatkan secara berasingan daripada penghuni lain. Pada 7 Oktober 2025, atas inisiatif pegawai JKM WPKL, penama telah dirujuk dan dibawa ke IPR bagi pengesahan lanjut status kesihatan. Hasil pemeriksaan mendapati penama telah sembuh secara klinikal, namun masih perlu menjalani rawatan susulan dari semasa ke semasa.
Berikutan itu, tindakan telah diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JKMWPKL di bawah Seksyen 3(1) Akta Orang Papa 1977 (Akta 183) bagi tujuan perlindungan selama 24 jam dan penempatan sementara di RSK Cheras. Penama akan dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 bagi penempatan di Rumah Seri Kenangan Seremban selama tempoh satu (1) bulan.
Sepanjang tempoh tersebut, JKM akan menjalankan pencarian waris, pemeriksaan kesihatan lanjut, penempatan serta kerja kes susulan bagi menentukan bentuk intervensi dan tindakan yang sesuai demi kebajikan penama. JKM ingin menasihatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kes kebajikan supaya tindakan segera dapat ditangani dengan sewajarnya melalui pelbagai platform rasmi:
a. Talian Kasih 15999;
b. Aplikasi WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999;
c. Emel pro_jkm@jkm.gov.my; atau
d. Hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat di Negeri dan Daerah yang berdekatan.
JKM sentiasa komited memastikan setiap individu, khususnya golongan rentan dan warga emas yang memerlukan bantuan, diberi perhatian serta perlindungan sewajarnya selaras dengan mandat jabatan dalam menjaga kebajikan masyarakat.
Sumber:
Unit Perhubungan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
Tarikh dikeluarkan 8 Oktober 2025
#Prezcom