Jurang Pendapatan Mengecil, Rakyat Luar Bandar Kini Lebih Berdaya Tahan

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2025

Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar semakin mengecil, dengan kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah luar bandar meningkat 5.7 peratus berbanding 5.8 peratus di bandar dalam tempoh 2022 hingga 2024

Analisis Strata: Dari Pekan ke Bandar
Pendapatan purata isi rumah luar bandar kini mencecah RM5,669, naik daripada RM5,147 pada 2022, manakala bandar meningkat kepada RM10,145 daripada RM9,428. Walaupun nilai mutlak di bandar masih tinggi, kadar peningkatan di luar bandar menunjukkan pengukuhan kuasa beli di kawasan tersebut.

Kumpulan isi rumah berpendapatan RM2,000 hingga RM3,999 kekal terbesar di luar bandar (34%), manakala golongan berpendapatan RM6,000 hingga RM7,999 meningkat paling ketara, daripada 12.0% kepada 14.3%. Di kawasan bandar pula, isi rumah dalam julat RM8,000–RM9,999 meningkat sebanyak 1.6 mata peratus, mencerminkan pertumbuhan kelas menengah

Konteks Ekonomi & Dasar
Peningkatan pendapatan ini disokong oleh faktor makroekonomi seperti pertumbuhan KDNK 5.1%, kadar pengangguran rendah 3.2%, serta pelaksanaan dasar gaji progresif nasional yang memperkukuh keupayaan kewangan golongan pekerja berpendapatan rendah. Program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan inisiatif agrokomuniti luar bandar turut membantu mengurangkan kadar kemiskinan, di samping meningkatkan daya tahan isi rumah terhadap inflasi sederhana 1.8%.

Trend Positif Mengikut Negeri
Kelantan mencatat kadar pertumbuhan tertinggi dalam pendapatan benar penengah, iaitu 4.8%, diikuti Johor (3.3%) dan Negeri Sembilan (3.2%)

Data ini menunjukkan negeri-negeri bukan metropolitan turut mengalami peningkatan pendapatan yang signifikan hasil pengagihan pembangunan yang lebih seimbang di bawah dasar ekonomi inklusif negara.Jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar masih wujud tetapi semakin berkurangan. Pertumbuhan positif di kawasan luar bandar menunjukkan bahawa strategi nasional untuk memperluas peluang ekonomi di semua negeri mula membuahkan hasil.

#Prezcom