
KUALA LUMPUR, 4/10/2025
Landskap pengangkutan awam ibu negara mencatat satu lagi sejarah baharu apabila Stesen LRT Bandaraya kini secara rasmi dijenamakan semula sebagai Stesen LRT Bandaraya – UOB, hasil kolaborasi strategik antara Prasarana Malaysia Berhad dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia.
Majlis perasmian penjenamaan semula itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook, dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, yang menzahirkan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperkukuh pendekatan kerjasama Public-Private-People Partnership (4P).
Prasarana memaklumkan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada strategi menjana pendapatan bukan tambang melalui hak penamaan stesen, sekali gus menyokong kelestarian operasi jangka panjang. Walaupun jumlah perjanjian tidak didedahkan, UOB menegaskan bahawa kerjasama ini melambangkan simbolik kukuh kerana bank tersebut telah beroperasi di kawasan sekitar sejak 1984.
Selain daripada aspek kewangan, UOB turut memperindah stesen dengan sentuhan korporat dan seni visual yang mencerminkan identiti moden Kuala Lumpur sebagai hab kewangan serantau.
Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pengangkutan menekankan bahawa kerjasama seperti ini bukan sahaja meningkatkan imej stesen pengangkutan awam, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi bandar raya. Datuk Bandar Kuala Lumpur pula menyifatkan inisiatif ini sebagai bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar pintar, mampan dan berdaya huni menjelang 2040.
DBKL melihat model kolaborasi ini sebagai contoh terbaik yang wajar diperluas ke projek lain, bagi memastikan pembangunan bandar raya lebih progresif dan berdaya saing.
Stesen LRT Bandaraya – UOB kini bukan sekadar pusat transit, tetapi simbol kerjasama erat antara pihak kerajaan, swasta, dan masyarakat. Inisiatif ini diharap mampu meningkatkan keselesaan pengguna, memperkukuh sistem pengangkutan awam, serta menarik lebih ramai warga kota untuk memilih pengangkutan mesra alam ini berbanding kenderaan persendirian.
Menurut pakar mobiliti bandar, strategi menjana pendapatan bukan tambang melalui hak penamaan stesen boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan pengendali pengangkutan awam, sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Penjenamaan semula Stesen LRT Bandaraya kepada Stesen LRT Bandaraya – UOB membuktikan bahawa kerjasama strategik awam-swasta mampu memberi manfaat langsung kepada warga kota. Ia bukan sahaja meningkatkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya global, tetapi juga menyokong aspirasi untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai nadi utama mobiliti masa depan.
#Prezcom