
Kuala Lumpur, 1/10/2025
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Eropah menyaksikan perkembangan luar biasa apabila beberapa negara mengambil langkah berani menyokong Palestin. Sepanyol membatalkan perjanjian senjata bernilai €700 juta dengan Israel, manakala Perancis mengiktiraf Negara Palestin menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sepanyol turut mengugut untuk memboikot Piala Dunia FIFA 2026 sekiranya Israel dibenarkan mengambil bahagian.
Langkah-langkah ini mencerminkan pengiktirafan bahawa solidariti terhadap Palestin tidak lagi boleh terbatas kepada retorik semata-mata. Namun, pengiktirafan tanpa tindakan susulan nyata dikhuatiri menjadi sekadar simbolik seperti “tinta di atas kertas” yang tidak membawa perubahan sebenar kepada rakyat Palestin yang terus berdepan pembunuhan, pengusiran dan penindasan setiap hari.
Sejarah pengiktirafan Palestin di arena antarabangsa bukanlah baharu. Sejak 1980-an, lebih 140 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin. Kini, hampir 80 peratus daripada 193 negara anggota memberi pengiktirafan rasmi, termasuk Perancis, Sepanyol, Ireland, Norway, Slovenia, Andorra, Portugal serta beberapa negara Caribbean.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar pengiktirafan itu kekal bersifat simbolik tanpa tindakan ekonomi atau diplomatik yang memaksa Israel menukar dasar. Berbeza dengan reaksi dunia terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, di mana sekatan, pengasingan diplomatik, dan penarikan keluar syarikat multinasional berlaku hampir serta-merta, tindakan terhadap Israel masih jauh daripada tahap tegas tersebut.
Tindakan Sepanyol membatalkan perjanjian senjata dengan Israel dianggap sebagai langkah konkrit yang melangkaui simbolisme. Malah ancaman memboikot acara sukan antarabangsa seperti Piala Dunia memberi tekanan moral dan psikologi yang nyata terhadap Israel.
Sebaliknya, Perancis yang baru mengiktiraf Palestin masih dilihat terperangkap antara kata-kata dan tindakan. Tanpa sekatan perdagangan atau koridor diplomatik yang mengekang Israel, pengiktirafan itu berisiko menjadi sekadar kenyataan politik tanpa kesan langsung kepada rakyat Palestin.
Penganalisis menegaskan bahawa momentum pengiktirafan ini penting kerana ia mengembalikan Palestin ke tengah perbincangan antarabangsa. Ia melemahkan naratif normalisasi Israel dan menekan institusi global agar menilai semula penglibatan mereka.
Seperti mana sekatan dan boikot antarabangsa melemahkan rejim apartheid Afrika Selatan, tindakan bersama – sama ada sekatan ekonomi, embargo senjata, mahupun pengasingan diplomatik – boleh memaksa Israel memikul tanggungjawab atas pencabulan hak asasi.
Namun, selagi pengiktirafan tidak disusuli langkah konkrit, penderitaan di Gaza dan Tebing Barat akan berterusan. Seperti yang digambarkan penulis Revda Selver: “Tinta di atas kertas tidak akan mengembalikan anak-anak Palestin yang dibunuh ke pangkuan ibu mereka.”
Bagi Malaysia, perkembangan ini menuntut pendirian lebih tegas di peringkat ASEAN dan OIC. Malaysia sejak sekian lama menjadi suara lantang mempertahankan Palestin. Dengan Eropah mula menunjukkan keberanian, Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara boleh memperkukuh tekanan diplomatik dengan mengangkat isu Palestin ke forum antarabangsa secara konsisten, termasuk mendesak sekatan senjata dan embargo ekonomi terhadap Israel.
Langkah itu bukan sahaja mencerminkan solidariti kemanusiaan, malah meneguhkan prinsip Malaysia dalam mempertahankan keadilan global.
Gelombang pengiktirafan Palestin oleh negara-negara Eropah menandakan perubahan iklim politik antarabangsa. Namun, tanpa tindakan nyata berbentuk sekatan, embargo atau boikot, pengiktirafan itu kekal sekadar simbol. Dunia dituntut bergerak dengan keberanian politik sama seperti ketika menghadapi krisis Ukraine, agar penderitaan rakyat Palestin tidak lagi diabaikan.
Soalnya kini, berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban sebelum masyarakat antarabangsa bertindak dengan segera dan tegas?
#Prezcom
Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari
———–
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator & Business Coach
Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.
Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.
Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.
“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”
———–
Disclaimer:
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.