SIARAN MEDIA: FAM AKAN MEMBUAT RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN FIFA BERHUBUNG PEMAIN WARISAN28

Kuala Lumpur, 28/09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemain warisan yang dikatakan menggunakan dokumen tidak sah untuk layak mewakili Malaysia. Hukuman tersebut menyaksikan FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain yang terbabit digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan dan turut dikenakan denda individu CHF2,000 (RM10,560) setiap seorang.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan bahawa FAM dan pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses pendaftaran. Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain-pemain tersebut dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi untuk Malaysia.

Dalam kenyataan medianya, Yusoff berkata FAM menguruskan semua dokumentasi serta prosedur mengikut garis panduan ditetapkan dan tidak pernah berniat melanggar peraturan.

“Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan sentiasa terpelihara,” katanya.

FAM juga menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses rayuan berjalan secara telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.

Krisis pemain warisan ini mencetuskan kejutan besar kerana ia melibatkan maruah dan kredibiliti bola sepak negara di peringkat antarabangsa. Tidak seperti skandal rasuah liga tempatan pada 1994, kes ini menyentuh soal integriti Malaysia di mata dunia. Pemerhati bola sepak menyifatkan tindakan FIFA ini sebagai “lebih besar daripada skandal 1994” kerana melibatkan nama baik negara serta kedaulatan dokumen rasmi.

Sekiranya rayuan FAM gagal, pasukan kebangsaan bakal kehilangan tujuh tonggak utama yang sebelum ini menguatkan cabaran Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2027. Keadaan ini boleh menjejaskan prestasi skuad Harimau Malaya yang kini berada pada ranking ke-123 FIFA, kedudukan terbaik sejak beberapa tahun lalu.

Timbul persoalan tentang pihak yang harus bertanggungjawab dalam isu ini. Ada pandangan bahawa ia bukan sahaja melibatkan FAM, tetapi juga pengurusan skuad kebangsaan serta agensi berkaitan yang sepatutnya menyemak dokumen pengesahan lebih teliti. Malah, ada yang menyifatkan pemalsuan dokumen sebagai satu bentuk jenayah sivil yang perlu disiasat lebih mendalam oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, terdapat dakwaan bahawa wujud “entiti luar” yang cuba mensabotaj projek kebangkitan Harimau Malaya, seperti dikongsi oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menerusi media sosial. Walaupun dakwaan itu masih diperdebatkan, ia menambahkan lagi dimensi kontroversi terhadap kes ini.

Kes pemain warisan ini meletakkan bola sepak Malaysia dalam sorotan antarabangsa dengan reputasi negara dipersoalkan. Langkah FAM untuk memfailkan rayuan dilihat sebagai peluang terakhir bagi mempertahankan integriti organisasi dan masa depan skuad kebangsaan.

Kini, peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa menunggu dengan penuh debaran untuk melihat sama ada rayuan FAM mampu mengubah keputusan FIFA atau Malaysia bakal berdepan hukuman yang memberi kesan jangka panjang kepada prestasi Harimau Malaya di pentas Asia.

Sumber:  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

#Prezcom