
Putrajaya, 27/09/2025
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan bahawa legasi yang ditinggalkan oleh pesara SPRM perlu diteruskan oleh pegawai yang masih berkhidmat, sebagai kesinambungan usaha membina integriti dan menaikkan imej suruhanjaya itu di mata rakyat.
Beliau berkata, pesara dan bakal pesara menaruh harapan besar agar usaha keras mereka selama ini tidak terkubur begitu sahaja, sebaliknya menjadi asas kepada peningkatan mutu perkhidmatan SPRM di masa hadapan.
“Kita terutama sekali pegawai kanan perlu meneruskan legasi dengan menggembleng tenaga dan fikiran untuk masa hadapan SPRM. Persaraan bukan titik noktah, tetapi sebuah penghijrahan. Ia adalah permulaan baharu dalam episod kehidupan. Jadikanlah kehidupan selepas bersara lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Persaraan SPRM Tahun 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Zenith, Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Azam turut memetik kata-kata tokoh dunia, Mahatma Gandhi, “A man is but the product of his thoughts; what he thinks, he becomes,” bagi menggambarkan bahawa tindakan, keperibadian dan kehidupan seseorang dibentuk oleh kualiti pemikiran mereka.
Beliau menyeru para pesara agar mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif meskipun sudah bersara, dengan mengutamakan kesihatan mental dan fizikal. “Meskipun sudah berehat daripada kesibukan kerja, tidak bermakna kita perlu berhenti daripada aktiviti. Penuhi masa lapang dengan senaman dan rutin harian untuk terus kekal cergas,” katanya.
Azam turut merakamkan penghargaan kepada semua pesara atas khidmat bakti mereka dalam memperkukuh integriti SPRM sepanjang tempoh perkhidmatan.
Wakil pesara SPRM, Dato’ Alias Salim, dalam ucapannya menekankan bahawa peranan pesara tidak berakhir dengan persaraan. Katanya, pesara perlu menjadi rujukan masyarakat dalam isu rasuah dan integriti serta terus membawa nilai-nilai baik yang dipelajari semasa berkhidmat.
“Kita akan menjadi pakar rujuk dan pemudahcara kepada masyarakat dalam isu-isu berkaitan rasuah dan integriti. Maka kita semua perlu meningkatkan integriti dan menjaga imej sebagai pesara SPRM,” katanya.
Majlis yang bertemakan “Menjunjung Integriti, Legasi Abadi” diadakan bagi meraikan 26 orang pesara dan bakal pesara SPRM bagi tahun 2025.
Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Puan Sri Normah Mohd Zin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Pengerusi III PUSPANITA SPRM, Datin Saliza Mohd Zillah; serta Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai (PBP) BPR/SPRM, Dato’ Mazlan Mohamad.
Hadir sama ialah para pengarah bahagian dan negeri SPRM, pesara yang diraikan serta ahli PBP BPR/SPRM.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan khidmat bakti pesara, malah menjadi titik peringatan kepada pegawai yang masih berkhidmat bahawa integriti ialah warisan paling berharga yang perlu dipelihara. SPRM mahu memastikan legasi integriti ini bukan sahaja kekal dalam institusi, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat luas untuk sama-sama membanteras rasuah dan menegakkan keadilan.
#Prezcom