
KUALA LUMPUR, 25/09/2025
Konsultasi ke-31 antara Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) membuka tirai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan penegasan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan ekonomi yang telah berusia lebih lima dekad.
Dalam ucapan pembukaan, Pengerusi AEM menegaskan bahawa Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi mesyuarat kali ini kerana mencerminkan kepelbagaian, daya tahan dan dinamisme rantau ini. Beliau menyifatkan bandar raya itu sebagai simbol keterhubungan dan kesinambungan tradisi dengan kemodenan, seiring semangat yang perlu dicontohi ASEAN dan Jepun dalam mengharungi cabaran global.
Perdagangan Dua Hala Cecah USD236.4 Bilion
Statistik tahun 2024 menunjukkan jumlah perdagangan dua hala ASEAN–Jepun mencecah USD236.4 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) Jepun ke ASEAN berjumlah USD17.5 bilion. Angka ini mengekalkan Jepun sebagai rakan dagang keempat terbesar ASEAN selama lima tahun berturut-turut, selain sumber FDI kelima terbesar dalam kalangan rakan dialog ASEAN.
Hubungan erat ini, menurut Pengerusi AEM, membuktikan bahawa Jepun terus melihat ASEAN sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global, manakala ASEAN pula mendapat akses kepada teknologi, kepakaran, dan pasaran maju Jepun.
Tumpuan Baharu: Transformasi Hijau dan Digital
Selain sektor tradisional seperti pembuatan dan infrastruktur, Jepun kini memperluas pelaburan dalam bidang baharu yang lebih strategik termasuk daya tahan rantaian bekalan, transformasi digital dan hijau, pembangunan modal insan serta kerjasama serantau dan global.
Kerjasama ini juga disokong oleh pelaksanaan ASEAN–Japan Comprehensive Economic Partnership (AJCEP) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), yang menjadi platform penting bagi liberalisasi perdagangan dan pelaburan.
Ulang Tahun ke-52 ASEAN–Jepun
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-52 hubungan ASEAN–Jepun. Dalam sidang berkenaan, Pengerusi AEM menyeru agar hubungan strategik ini terus diperkukuh, bukan sekadar berasaskan angka perdagangan atau aliran pelaburan, tetapi juga untuk meningkatkan daya tahan rantau terhadap ketidaktentuan global, memacu inovasi serta memastikan keamanan dan kemakmuran jangka panjang.
Sebagai simbol penghormatan, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Muto Yoji, dijemput untuk menyampaikan ucapan pembukaan bersama sebagai rakan kongsi strategik ASEAN. Konsultasi AEM–METI kali ke-31 ini sekali lagi membuktikan bahawa hubungan ASEAN–Jepun bukan sekadar retorik diplomatik tetapi terbukti melalui angka perdagangan dan pelaburan yang besar serta kerjasama baharu dalam teknologi, transformasi hijau dan pembangunan modal insan. Langkah ini diyakini mampu memperkukuh daya tahan ekonomi rantau serta membuka peluang lebih luas kepada rakyat ASEAN dalam era persaingan global
#Prezcom