Telefon Anda, Aplikasi Siapa? — Dakwaan AppCloud Pra-Pasang Pada Samsung Series A/M Di Kaitkan dengan Israel

CYBERJAYA, 21/09/2025

Beberapa laporan hak digital antarabangsa mendakwa aplikasi AppCloud yang dikaitkan dengan syarikat Israel, ironSource kini dimiliki Unity  hadir sebagai aplikasi pra-pasang pada sebahagian telefon Samsung Galaxy siri A dan M, sukar dinyahpasang, serta aktif memaparkan cadangan aplikasi kepada pengguna. Badan hak digital berpengkalan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (WANA), SMEX, menyiarkan surat terbuka mendesak Samsung menjelaskan amalan pra-pemasangan tersebut, ruang untuk keluar (opt-out), kaedah nyahpasang, dan dasar privasi yang terpakai.

Laporan SMEX itu hadir selepas pengumuman rasmi pada 2022 bahawa ironSource mengembang kerjasama dengan Samsung sebagai rakan tunggal pada peranti baharu siri A/M di lebih 50 pasaran WANA menerusi platform Aura iaitu perisian rakan OEM/telco yang mempromosi kandungan dan aplikasi pada peranti. Hubungan korporat ini kemudiannya berada di bawah payung Unity selepas penggabungan yang dimuktamadkan pada 7 November 2022.

Menambah berat dakwaan, dokumen sokongan rasmi Samsung Knox sendiri merujuk “AppCloud” sebagai pakej sistem dengan nama com.aura.oobe.samsung atau com.aura.oobe.samsung.gl, dan mengakui ia wujud pada beberapa model serta boleh menimbulkan konflik dengan pelancar skrin utama pada versi perisian tertentu. Sekurang-kurangnya tiga model disenaraikan menerima pakej tersebut melalui semakan perisian pada 2022–2023.

Setakat artikel ini diterbitkan, tiada makluman awam khusus daripada Samsung atau Unity/ironSource yang menjawab butiran yang dibangkitkan dalam surat terbuka SMEX; organisasi itu mengesahkan pihaknya memohon pertemuan rasmi bagi mendapatkan penjelasan dasar privasi dan pilihan keluar yang jelas kepada pengguna.

Dakwaan utama berkisar pada tiga unsur: pra-pemasangan tanpa pilihan jelas, kesukaran nyahpasang, dan kebimbangan pemprosesan data untuk tujuan cadangan aplikasi serta pemasaran. SMEX menegaskan isu itu paling ketara dalam pasaran WANA selepas peluasan kerjasama Samsung–ironSource pada 2022. Pada masa sama, liputan pengguna di komuniti bantuan Samsung dan laporan pengguna bebas menunjukkan notifikasi berterusan serta perlakuan yang disifatkan sebagai bloatware.

Dari sisi teknikal, rantaian bukti awam menghubungkan AppCloud kepada pakej Aura pada peranti Samsung malah halaman produk rasmi Unity Aura mengesahkan fungsinya untuk “mempromosi aplikasi dan perkhidmatan terus pada peranti” bagi OEM dan telco, dengan jejak pemasangan melebihi dua bilion peranti secara global.

Walaupun fokus awal dakwaan tertumpu kepada WANA, isu privasi perisian pra-pasang relevan kepada Malaysia memandangkan Samsung kekal antara jenama mudah alih terbesar di negara ini. Data StatCounter menunjukkan Samsung menguasai sekitar 14% pegangan vendor mudah alih aktif di Malaysia pada Ogos 2025 dengan skala penggunaan yang menjadikan sebarang amalan perisian terbina penting dinilai secara teliti.

Lebih luas, trend OEM menambah lapisan “cadangan aplikasi” pada peranti baharu menimbulkan persoalan persetujuan bermaklumat, ketelusan pemprosesan data, dan kawalan pengguna terhadap aplikasi yang tidak kritikal. Laporan pengguna serta panduan pihak ketiga memaparkan langkah penyahaktifan atau nyahpasang AppCloud, walaupun pengalaman berbeza mengikut model dan kemas kini perisian.

Pakar keselamatan dan komuniti bantuan pengguna menyarankan amalan minimum meliputi menyemak kebenaran (permissions), mematikan data latar belakang, serta menyahaktif atau menyahpasang AppCloud melalui tetapan aplikasi; sesetengah panduan pengguna menerangkan keperluan memaparkan “aplikasi sistem” untuk mengesan namanya atau pakej Aura yang berkaitan. Pengguna mahir turut merujuk pilihan ADB untuk nyahpasang tanpa root, namun kaedah ini berisiko dan tidak digalakkan kepada pengguna biasa.

Dakwaan mengenai AppCloud menyerlahkan jurang antara amalan pemasaran peranti moden dan jangkaan hak privasi pengguna. Bukti korporat tentang peluasan kerjasama Samsungdan ironSource di WANA serta rujukan teknikal Samsung Knox terhadap pakej AppCloud/Aura menunjukkan isu ini wajar dijelaskan secara rasmi. Ketelusan mengenai data yang dikumpul, kaedah penyahaktifan yang sah dan tidak merosakkan fungsi peranti, serta jaminan pematuhan undang-undang privasi adalah kunci mengekalkan kepercayaan pengguna.

#Prezcom