Sejarah Tercipta: Kabinet Setuju Asingkan Peranan Peguam Negara & Pendakwa Raya. Reformasi Undang-Undang Paling Besar Era Madani

KUALA LUMPUR, 18/09/2025

Kerajaan Persekutuan mencatat detik bersejarah apabila Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, satu reformasi institusi perundangan yang dilihat mampu memperkukuh kedaulatan undang-undang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas pembentangan model pengasingan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Perincian Pengasingan Kuasa
Menurut Fahmi, cadangan pengasingan ini melibatkan pewujudan dua jawatan berasingan yang mempunyai kedudukan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah memberi pertimbangan menyeluruh, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh, di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM pula menjelaskan bahawa Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang bebas dan berkuasa sendiri.

Selain itu, Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta berkaitan, termasuk satu akta baharu mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mirip Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

Pelaksanaan Berfasa dan Pasukan Teknikal
Kerajaan turut bersetuju agar pelaksanaan ini dibuat secara berfasa dengan penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.

Sebuah Pasukan Petugas Khas Teknikal akan ditubuhkan, diterajui oleh BHEUU dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pasukan ini bertanggungjawab memperincikan struktur organisasi, implikasi kewangan, perjawatan, serta logistik pelaksanaan sebelum syor lengkap dikemukakan semula kepada Jemaah Menteri.

Latar Belakang dan Kepentingan Reformasi
Cadangan pengasingan kuasa ini telah lama dibincangkan oleh pakar perundangan dan badan masyarakat sivil sebagai langkah penting bagi mengelakkan konflik kepentingan antara peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan Pendakwa Raya sebagai pihak bebas yang mengendalikan pendakwaan jenayah.

Langkah ini dilihat mampu meningkatkan integriti, memperkukuh tadbir urus negara serta memastikan keadilan dilaksanakan tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Keputusan Kabinet ini menjadi penanda aras penting kepada Kerajaan Madani dalam melaksanakan agenda reformasi menyeluruh, khususnya dalam bidang perundangan. Dengan pengasingan kuasa ini, kerajaan menghantar mesej jelas bahawa prinsip kedaulatan undang-undang akan diperkasakan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pendakwaan negara.

#Prezcom