
DOHA, 17/09/2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa dunia bertindak lebih tegas terhadap Israel dengan menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan sebagai tekanan agar serangan terhadap Gaza dihentikan segera. Beliau menegaskan kecaman dan deklarasi semata-mata tidak lagi memadai kerana keganasan Israel semakin meluas hingga ke Lubnan, Syria, Yaman, Iraq malah kini menyerang ibu negara Qatar.
“Gaza terus dihancurkan di hadapan mata kita. Rakyatnya menanggung kematian dan kemusnahan, keluarga dimusnahkan, hospital berkecai, kanak-kanak tertimbus di bawah runtuhan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.
Serangan ke atas Doha: Tindakan Biadab dan Melanggar Undang-Undang Antarabangsa
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, yang bukan sahaja mencabuli kedaulatan Qatar tetapi juga melanggar undang-undang antarabangsa.
“Menyerang ibu negara sebuah negara berdaulat adalah tindakan kejam, biadab dan provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan rantau. Lebih memburukkan keadaan, Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani telah berperanan besar sebagai pengantara perdamaian. Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut,” tegas Anwar.
Beliau menambah, serangan itu mesti dianggap sebagai serangan terhadap semua negara Arab dan Islam, serta masyarakat antarabangsa yang mengimpikan keamanan.
Israel Tolak Negara Palestin, Isytihar Apartheid Kekal
Anwar turut menegaskan bahawa Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya. Rejim Zionis secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin, menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka, dan mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal.
“Tindakan Israel ini adalah penolakan terhadap semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Generasi akan datang akan bertanya sama ada kita memiliki keberanian untuk bertindak, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan,” katanya.
Tanggungjawab Negara Bersekutu AS
Anwar mengingatkan negara-negara Arab yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat bahawa mereka memikul tanggungjawab lebih besar.
“Apabila AS mengusahakan dialog dengan Iran, Israel membalas dengan bom. Ketika Washington menggalakkan rundingan dengan Hamas, Israel terus mengebom di merata tempat. Corak anarki ini jelas menghina asas tamadun antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merujuk flotila bantuan kemanusiaan yang sedang belayar ke Gaza, membawa bekalan untuk rakyat yang kelaparan. “Membiarkan flotila itu dihalang dengan kekerasan adalah pengkhianatan terhadap tugas kita untuk melindungi yang lemah dan memberi makan kepada yang lapar,” ujarnya.
Kenyataan keras Anwar di Doha menandakan pendirian tegas Malaysia bahawa dunia tidak boleh lagi sekadar mengecam, sebaliknya mesti bertindak dengan langkah nyata termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel.
Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan seluruh dunia Islam, menyeru tindakan kolektif demi menamatkan kekejaman, mempertahankan keadilan dan mengembalikan maruah umat yang tertindas.
#Prezcom