YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Kredit Image to Izzuddin Abd Razak/ Pejabat Perdana Menteri

MERSING, 16/09/2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa perpaduan nasional hanya dapat dicapai apabila hak majoriti Melayu dan Islam dipertahankan, tanpa mengabaikan hak kaum lain yang turut bergelar warganegara Malaysia.

Beliau berkata prinsip keseimbangan itu menjadi asas kepada keamanan dan keharmonian negara sejak merdeka.

“Kalau kita mahu jamin perpaduan, negara ini majoriti Melayu, Islam, mesti pertahankan hak mereka. Tetapi negara ini juga mesti jamin hak semua warganegara – Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan,” katanya pada sesi Temu Anwar sempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di Mersing, baru-baru ini.

Anak Muda Pewaris Masa Depan
Anwar turut menekankan kepentingan golongan muda sebagai pemimpin masa depan. Katanya, anak muda perlu diberikan peluang seluas-luasnya melalui ruang, latihan dan pendedahan untuk membina disiplin serta kemahiran.

“Kalau anak-anak muda cukup terlatih dan disiplin, masa depan kita lebih terjamin. Siapa yang akan menjadi pewaris? Anak-anak muda. Siapa yang menentukan masa depan? Anak muda,” ujarnya.

Malaysia di Pentas ASEAN
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memberi tumpuan kepada agenda penting termasuk keamanan serantau, keterhubungan digital dan tenaga, yang diyakini mampu memperkukuh hubungan antara negara anggota.

Perdana Menteri turut menyambut baik cadangan penganjuran Perhimpunan Pengakap ASEAN sebagai platform memperkukuh kerjasama belia di rantau ini.

Kepimpinan Pengakap Kekal Relevan
Menyentuh tentang peranan pengakap, Anwar menyatakan pergerakan itu akan terus relevan kerana nilai asas yang dipupuk adalah kemanusiaan dan ihsan.

“Pengakap relevan 100 tahun lalu, dia akan relevan 100 tahun akan datang, melainkan manusia hilang kemanusiaannya. Kalau manusia kekal menjadi manusia, badan-badan yang memupuk nilai insani ini akan terus kekal relevan,” jelas beliau.

Menurutnya, meskipun aktiviti pengakap dahulu tidak menyentuh soal digital atau kecerdasan buatan (AI), tonggak utama pergerakan itu tetap sama iaitu kemanusiaan dan nilai ihsan.

Kenyataan Anwar di Johor sekali lagi menegaskan pendirian kerajaan bahawa hak kaum majoriti mesti dipertahankan tanpa menafikan hak kaum lain. Beliau menekankan bahawa keseimbangan ini bukan sahaja asas kepada perpaduan, malah menjadi faktor penentu kepada masa depan negara.

Peranan anak muda dan platform belia seperti pengakap pula dilihat sebagai wadah penting dalam membentuk generasi baharu yang mampu mengemudi cabaran digital dan geopolitik serantau.

#Prezcom