SPRM menahan 30 individu termasuk 18 pegawai daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

SHAH ALAM, 14/09/2025

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu lagi skandal mengejutkan apabila sindiket counter setting dikesan menawarkan rasuah mencecah RM50,000 sebulan kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi kemasukan warga asing tanpa melalui prosedur sah. Penemuan itu sekali gus membuka mata rakyat terhadap betapa seriusnya isu integriti di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mendedahkan pegawai terbabit menerima bayaran antara RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang dilepaskan. Bayaran dilakukan secara tunai dan melalui akaun keldai bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Secara purata, pegawai yang terlibat boleh memperoleh antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada bilangan warga asing yang dilepaskan. Ejen sindiket akan memberikan maklumat seperti nombor pasport dan tiket penerbangan, sebelum pegawai mengarahkan kaunter imigresen tertentu untuk memudahkan kemasukan tanpa pemeriksaan terperinci,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Dalam operasi besar-besaran Op Rentas, SPRM menahan 30 individu termasuk 18 pegawai daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 54 tahun, melibatkan pangkat daripada Gred KP1 hingga KP9.

Tangkapan dibuat di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Antara yang ditahan termasuk ketua pasukan, penyelia dan penjaga kaunter imigresen yang dipercayai menjadi dalang dalam sindiket ini.

SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, jam tangan mewah serta peranti komunikasi. Sebanyak 57 akaun bank milik individu dan syarikat bernilai lebih RM2.7 juta turut dibekukan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan memberi dan menerima suapan.

Skandal ini menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan sempadan Malaysia. Kelonggaran kawalan imigresen akibat rasuah bukan sahaja mengancam kedaulatan negara, malah membuka ruang kepada aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan dan risiko keselamatan lain.

Penganalisis keselamatan menegaskan isu integriti di kalangan penguat kuasa boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, selain menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan.

Pendedahan SPRM mengenai rasuah sindiket counter setting ini menzahirkan kepincangan yang serius dalam kawalan pintu masuk negara. Walaupun tindakan tegas telah diambil melalui tangkapan dan pembekuan aset, cabaran terbesar kini ialah memastikan penguatkuasaan yang benar-benar bebas daripada rasuah.

Kerajaan perlu memperkukuh sistem semakan dan kawalan imigresen, selain meningkatkan mekanisme pemantauan dalaman agar kebocoran integriti seperti ini tidak lagi berulang. Masa depan keselamatan negara bergantung pada keberanian institusi untuk menutup ruang rasuah yang sekian lama membarahKes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

#Prezcom