YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hari ini melancarkan MTUN Nexus

KUALA LUMPUR, 11/09/2025

Malaysia melakar sejarah baharu apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan MTUN Nexus, sebuah model strategik yang direka khusus untuk memperkukuh kerjasama universiti teknikal dengan industri, sekali gus menjadikan negara lebih berdaya saing dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

Pelancaran rasmi MTUN Nexus disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud bersempena Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2025 (GTEST 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

“Bidang kejuruteraan sedang melalui fasa Renaissance yang dipacu teknologi pesat dan keperluan penyelesaian berteraskan manusiawi. Dengan adanya MTUN Nexus, Malaysia dapat membina jambatan kerjasama yang lebih kukuh antara penyelidik, industri, dan pembuat dasar,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Apa Itu MTUN Nexus?

MTUN Nexus merupakan hasil projek Strategic Synergy Model for the Malaysia Technical University Network University-Industry Partnership yang dilaksanakan sejak November 2021 hingga September 2025. Projek ini dibiayai melalui inisiatif Going Global Partnerships oleh British Council dengan sokongan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

Model ini memberi fokus kepada enam portfolio utama yang menjadi nadi pembangunan masa depan negara:

Empat universiti teknikal negara yang terlibat dalam pembangunan model ini ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

GTEST 2025: Hab Inovasi Serantau

Kongres GTEST 2025 yang dihoskan oleh UniMAP berjaya menghimpunkan hampir 500 peserta dari 15 negara, mencatat peningkatan berbanding 450 peserta pada tahun sebelumnya. Acara berprestij ini turut menyatukan 11 persidangan utama, termasuk Malaysian Technical Universities Conference on Engineering and Technology (MUCET 2025) yang buat pertama kali menampilkan kolaborasi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersama MTUN+.

“Penganjuran ini menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau. Ia bukan sahaja medan pertemuan akademia dan industri, malah pelancar kepada inovasi berimpak tinggi,” tambah Datuk Ts. Mustapha.

Arah Tuju Dasar TVET Negara

KPT menegaskan bahawa pelaksanaan MTUN Nexus adalah selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang berteraskan tiga matlamat utama:

Pelancaran MTUN Nexus menandakan permulaan era baharu hubungan universiti-industri di Malaysia. Melalui gabungan kepakaran akademik, keperluan industri dan dasar kerajaan yang progresif, inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan, peningkatan teknologi serta inovasi yang mampu menempatkan Malaysia sebagai peneraju utama dalam landskap kejuruteraan dan teknologi serantau.

#Prezcom