
KUALA LUMPUR, 07/09/2025
Projek MyKiosk Madani di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali lagi menjadi perhatian apabila kos pembinaannya yang mencecah sehingga RM34,660 seunit dipersoalkan banyak pihak, meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur salah guna kuasa dalam pelaksanaannya.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dokumen lengkap berkaitan projek itu telah diserahkan kepada SPRM pada 22 Mei lalu sebagai bukti keterbukaan kementerian. “SPRM pada 3 Julai lalu memutuskan tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan. Mereka hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari segi tadbir urus,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, Rabu lalu.
Rekod menunjukkan MyKiosk 1.0 pada 2023 membabitkan kos RM48.18 juta bagi membina 3,189 unit kios dengan siling harga sekitar RM15,000 seunit. Untuk fasa kedua, MyKiosk 2.0 pada 2024 melibatkan peruntukan RM98.75 juta dengan kos maksimum RM25,000 seunit. Namun, berdasarkan jumlah keseluruhan yang diumumkan kementerian, iaitu RM250 juta bagi 7,213 unit, purata kos sebenar setiap kios meningkat kepada RM34,660, jauh lebih tinggi berbanding angka asal yang pernah disebut oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming iaitu sekitar RM25,000.
Kos tinggi itu menimbulkan persoalan hangat dalam kalangan rakyat dan netizen, malah ada yang menyindir seolah-olah kios berkenaan diperbuat daripada emas. Kritikan bertambah apabila sebahagian peniaga mendakwa reka bentuk kios tidak praktikal kerana ruang dalaman panas ketika cuaca terik dan mudah dimasuki air ketika hujan.
Selain itu, lokasi penempatan kios juga didakwa tidak strategik, jauh dari kawasan tumpuan orang ramai sehingga kurang mendapat sambutan peniaga tempatan. Rata-rata memilih untuk kekal di tapak lama kerana aliran pelanggan lebih stabil. Lebih membebankan, penyewa perlu menanggung kos permulaan sekitar RM710 merangkumi deposit, sewa bulan pertama, yuran pendaftaran serta lesen perniagaan.
Walaupun menerima kritikan, kadar pengisian MyKiosk 1.0 setakat ini dilaporkan mencapai 94.39 peratus, manakala MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07 peratus. Aiman menjelaskan baki unit kosong berpunca daripada isu lokasi, kekurangan infrastruktur asas serta kelewatan penyediaan tapak. Bagi menangani masalah ini, pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mempercepat proses pengisian melalui pemantauan bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga.
Mulai 2025, sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light akan diperkenalkan untuk menilai prestasi PBT. PBT yang mencapai markah penuh bakal diberi insentif tambahan. Dari segi spesifikasi pula, MyKiosk 2.0 dilengkapi panel solar 100 watt (berbanding 50 watt sebelum ini), kipas, dinding powder coated, kalis air tahan cuaca serta keluasan yang lebih besar. Selain itu, reka bentuk mudah alih membolehkan PBT memindahkan kios ke lokasi lebih strategik jika perlu.
Pengesahan SPRM bahawa MyKiosk bebas rasuah sedikit sebanyak melegakan rakyat, namun isu kos tinggi dan reka bentuk yang dipersoalkan kekal menjadi tanda tanya. Kritikan bahawa kos sebuah kios hampir menyamai harga rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terus membayangi kredibiliti projek ini. Kini, perhatian tertumpu kepada keberkesanan penambahbaikan yang diumumkan KPKT, sama ada benar-benar mampu menjadikan MyKiosk sebagai platform niaga berdaya maju atau sekadar menambah satu lagi episod kontroversi penggunaan dana awam.
#Prezcom