Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media Liputan Sidang Media Sesi Perjumpaan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama-sama Pihak TikTok di Menara 1 Bukit Aman, Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (kiri) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayaah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar (kanan).
–foto,kredit: BERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 07/09/2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan platform media sosial TikTok menangani isu penipuan dalam talian, buli siber serta kewujudan akaun kanak-kanak bawah umur walaupun perkara itu telah beberapa kali dibangkitkan kerajaan.

Menurut beliau, meskipun pihak TikTok pernah memberi jaminan akan meningkatkan pemantauan kandungan termasuk sesi siaran langsung, sehingga kini syarikat itu gagal menyatakan secara jelas bilangan moderator tambahan yang ditugaskan untuk menilai kandungan, khususnya dalam bahasa Tamil. “Kami sudah minta angka, tetapi mereka tidak mampu berikan. Kelemahan ini boleh mengundang tindakan undang-undang dan saya serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menilai tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil TikTok dan pihak berkuasa di Bukit Aman, semalam.

Fahmi turut menegaskan bahawa masih ramai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang berjaya membuka akaun TikTok walaupun ia jelas melanggar garis panduan platform itu sendiri. Beliau mendedahkan terdapat murid sekolah rendah Tahun Satu yang sudah mempunyai akaun, sekali gus menunjukkan mekanisme pengesahan umur TikTok masih gagal berfungsi. “Negara lain seperti Singapura telah melaksanakan kaedah verifikasi usia yang lebih berkesan. Mekanisme sedia ada di TikTok ternyata tidak mencukupi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengharamkan TikTok jika ia enggan mematuhi peraturan, Fahmi menjelaskan kerajaan tidak bercadang menyekat kebebasan bersuara rakyat. Namun beliau menegaskan kebimbangan kerajaan tetap besar kerana isu lain seperti pedofilia dan kandungan berbahaya semakin membimbangkan. “Kita beri masa kepada mereka untuk menilai isu yang telah dibangkitkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta MCMC,” ujarnya.

Selain TikTok, pertemuan serupa akan diadakan bersama platform lain seperti Meta dan X (Twitter) kerana setiap satu mempunyai isu berbeza yang perlu ditangani.

Fahmi turut mengumumkan bahawa mulai Oktober, Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2024 akan dikuatkuasakan. Melalui akta ini, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan kandungan seperti deepfake sebagai kesalahan, dan semua platform berlesen wajib menyekat atau menurunkan kandungan tersebut.

Beliau juga berkongsi statistik rasmi kementerian yang menunjukkan TikTok telah menurunkan 76,002 kandungan palsu antara 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, dengan kadar keberkesanan sebanyak 86 peratus berdasarkan garis panduan dalaman platform itu. Walaupun angka ini dilihat tinggi, kerajaan berpendapat ia masih tidak mencukupi bagi menjamin keselamatan digital rakyat.

Kegagalan TikTok menangani isu penipuan, buli siber dan akaun bawah umur mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan pengguna. Kerajaan kini memberi amaran jelas bahawa tindakan lebih tegas akan diambil termasuk melalui penguatkuasaan ONSA jika platform terbabit masih gagal mematuhi permintaan pihak berkuasa. Keselamatan digital bukan lagi pilihan, sebaliknya satu kewajipan demi melindungi rakyat daripada jenayah siber yang semakin kompleks.

#Prezcom