
KUALA LUMPUR, 06/092025
Walaupun penggunaan tali pinggang keselamatan di dalam bas ekspres telah diwajibkan sejak 1 Julai lalu, masih ramai penumpang didapati mengabaikan peraturan asas keselamatan itu. Dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak malam tadi, seramai 23 penumpang bas ekspres dikenakan kompaun kerana gagal memakai tali pinggang keselamatan.
Menurut Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, mereka yang dikenakan tindakan terdiri daripada 20 warga tempatan dan tiga warga asing. “Alasan yang paling kerap diberikan ialah mereka tidak tahu bahawa pemakaian tali pinggang keselamatan di dalam bas adalah wajib. Hakikatnya, undang-undang ini telah berkuat kuasa dan ia bertujuan melindungi nyawa penumpang sendiri,” katanya dalam sidang media selepas operasi yang berlangsung dari jam 8 malam hingga tengah malam.
Hamidi turut memaklumkan bahawa penumpang kini boleh membuat aduan terus kepada JPJ sekiranya mendapati tali pinggang keselamatan rosak atau tidak berfungsi. Aduan boleh dihantar melalui aplikasi MyJPJ dengan disertakan bukti bergambar atau video serta butiran perjalanan bas. Selain itu, aduan juga boleh dibuat melalui emel rasmi JPJ bagi memudahkan siasatan dan tindakan lanjut.
“Pemandu bas juga bertanggungjawab mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keselamatan sebelum perjalanan bermula. Keselamatan dalam pengangkutan awam adalah tanggungjawab bersama, bukan semata-mata pihak penguatkuasa,” tegasnya.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran diperiksa. Selain penumpang, dua pemandu turut dikenakan notis saman kerana memandu di lorong kanan serta mengendalikan bas yang pintu kecemasannya tidak berfungsi. Menurut Hamidi, kelemahan ini boleh mengundang tragedi besar jika berlaku kemalangan.
Rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan lebih 14 peratus kemalangan maut melibatkan bas antara 2018 hingga 2024 berpunca daripada kegagalan pematuhan peraturan keselamatan asas, termasuk penggunaan tali pinggang keselamatan dan pintu kecemasan yang rosak. Dengan lebih sejuta penumpang menggunakan bas ekspres setiap bulan, risiko yang wujud amat tinggi jika tahap disiplin dan pematuhan undang-undang tidak dipertingkatkan.
Langkah memperkenalkan saluran aduan melalui MyJPJ dilihat sebagai tindakan proaktif untuk memastikan pengendali bas bertanggungjawab. Namun, kesedaran pengguna tetap menjadi faktor penentu dalam menurunkan kadar kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Pihak berkuasa mengingatkan semua pihak bahawa pematuhan undang-undang bukan hanya tuntutan peraturan tetapi cerminan komitmen kita terhadap nilai nyawa manusia. Setiap penumpang, pemandu dan operator bas memikul tanggungjawab bersama dalam mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat dan berdisiplin. JPJ menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, sekali gus memastikan tiada lagi nyawa terkorban hanya kerana kecuaian sekecil tidak memakai tali pinggang keselamatan.
#Prezcom