
KUALA LUMPUR, 01/09/2025
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 telah boleh di tebus dangan lebih 7,000 terminal pembayaran elektronik dan 4,600 kedai terpilih di seluruh negara akan bersedia menerima penggunaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100, inisiatif sekali beri oleh kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
Perkembangan ini diumumkan secara berasingan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, serta Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, yang menekankan kesiapsiagaan infrastruktur dan perluasan rangkaian kedai bagi memastikan manfaat sampai kepada semua.
Menurut Fuziah, jumlah terminal meningkat daripada 4,000 bulan lalu kepada lebih 7,000 unit hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Yayasan MyKasih.
“KPDN telah meminta tambahan terminal untuk program Jualan Rahmah Bergerak agar rakyat mendapat manfaat maksimum. Di Sabah, semua jualan Rahmah kini lengkap dengan kemudahan terminal SARA,” katanya selepas menutup Karnival Komuniti MADANI Merdeka 2025 Parlimen Kuantan, di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap.
Beliau menasihatkan pengguna supaya mengasingkan barangan SARA daripada barangan lain ketika di kaunter pembayaran, bagi mengelakkan kelewatan. “Pasar raya sudah mula menandakan barangan layak SARA seperti makanan segera, biskut dan makanan dalam tin. Jadi lebih mudah jika pembeli asingkan terlebih dahulu,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi mengumumkan perluasan rangkaian kedai layak daripada 4,100 kepada 4,600 buah kedai terpilih. Ini membolehkan penerima berbelanja menggunakan SARA RM100 yang telah dimasukkan ke dalam MyKad masing-masing.
“Setiap orang dewasa 18 tahun ke atas akan mendapat RM100 sekali beri. Mereka boleh menyemak baki melalui laman rasmi sara.gov.my
atau portal MyKasih,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.
Fahmi turut menekankan masih ramai yang tidak mengetahui kelayakan mereka. “Ada yang tidak sedar mereka layak menerima bantuan ini. Jadi saya gesa semua menyemak status kerana ia peluang baik untuk meringankan beban belanja,” tambahnya.
Pengumuman bantuan SARA ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu, yang menegaskan bahawa setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas layak menerima bantuan RM100 sekali beri. Bantuan ini boleh digunakan bagi membeli barangan asas di kedai terpilih.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja Ekonomi MADANI yang memfokuskan kepada pengurangan kos sara hidup rakyat, selain inisiatif Rahmah lain seperti Jualan Rahmah dan program subsidi bersasar.
Kerajaan mengharapkan program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat dalam jangka pendek, tetapi juga mengukuhkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar dan B40.
Namun, cabaran seperti tahap kesedaran rakyat, keupayaan rangkaian kedai kecil, serta keberkesanan pengasingan barangan di kaunter perlu terus dipantau agar program tidak sekadar bersifat simbolik tetapi benar-benar memberi impak kepada isi rumah yang memerlukan.
Dengan pelaksanaan rasmi bermula 31 Ogos lepas, Bantuan SARA RM100 dilihat sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan dewasa muda dan berpendapatan rendah.
Peningkatan jumlah terminal pembayaran serta peluasan rangkaian kedai membuktikan kerajaan serius dalam memastikan akses menyeluruh. Namun, kejayaan program ini akhirnya bergantung pada sejauh mana penerima menggunakan bantuan tersebut untuk tujuan yang benar-benar memberi nilai kepada kehidupan seharian.
#Prezcom