Persatuan Pengguna Islam Malaysia-Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR, 30/08/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pemindahan tanah rizab Melayu (TRM) di Perak kepada syarikat bukan Bumiputera yang dipercayai berlaku secara tidak sah. Pendedahan mengejutkan ini menambah keresahan orang ramai mengenai ketirisan pengurusan aset tanah yang sepatutnya dilindungi di bawah perundangan negara.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan isu itu, malah ia turut direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebahagian tanah milik agensi kerajaan di Perak telah dipindahkan dalam bentuk saham syarikat kepada dua entiti bukan Bumiputera. Lebih membimbangkan, sebahagian besar tanah itu telah diberi kebenaran pecah lot untuk tujuan perumahan sebelum dijual kepada pihak bukan Melayu.

“Penukaran tanah ini berlaku melalui pemindahan saham kerana tanah dimiliki syarikat. Maka sesiapa sahaja boleh membeli tanah tersebut, termasuk bukan warganegara, walaupun ia berstatus rizab Melayu. Ini jelas bercanggah dengan undang-undang,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan semakan laporan media pada tahun 2023, sekurang-kurangnya 3,214 hektar TRM di Perak dikesan telah dipindah milik kepada pihak bukan Melayu dengan cara yang didakwa tidak sah. Tindakan ini bercanggah dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Nadzim menegaskan, siasatan perlu dijalankan bukan sahaja oleh polis tetapi juga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya unsur pemalsuan dokumen, penipuan atau salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

PPIM menuntut penjelasan segera daripada pihak berwajib:

“Kami mahu jawapan telus. Hak orang Melayu mesti dipertahankan, dan jika terbukti ada pihak yang bersalah, mereka mesti diheret ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” tegas Nadzim.

Isu ketirisan pengurusan tanah rizab Melayu bukanlah baharu. Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai laporan menunjukkan tanah yang sepatutnya dikhaskan untuk Bumiputera sering menjadi bahan spekulasi dan manipulasi pihak tertentu.

Di Malaysia, TRM merupakan instrumen penting bagi menjamin pemilikan aset kekal orang Melayu, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun. Kehilangan tanah tersebut bukan sahaja merugikan dari segi ekonomi, malah boleh melemahkan struktur sosial dan kedudukan komuniti Melayu di masa hadapan.

Pendedahan PPIM tentang isu TRM di Perak memberi isyarat jelas bahawa mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan perlu diperketatkan segera. Siasatan telus amat diperlukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa tanah rizab Melayu tidak boleh diperdagangkan sewenang-wenangnya.

Kini, mata rakyat tertumpu kepada pihak berkuasa – sama ada polis, SSM mahupun kerajaan negeri – untuk mengambil tindakan segera demi melindungi warisan tanah yang menjadi hak milik Melayu sejak berdekad lalu.

#Prezcom