
KUALA LUMPUR, 29/08/2025
Malaysia dijangka mencapai status “aged nation” pada tahun 2048 apabila 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas, menurut unjuran terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang menjalankan tugas sebagai Menteri Ekonomi, memberi peringatan ini ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Malaysia secara rasmi memasuki fasa “ageing nation” pada tahun 2021, apabila jumlah warga emas 65 tahun ke atas melepasi paras 7 peratus daripada keseluruhan populasi. “Peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan menyebabkan jumlah penduduk muda berusia 0 hingga 14 tahun semakin berkurang, manakala populasi warga emas terus meningkat,” jelas Amir Hamzah.
Data Terkini: Populasi Meningkat, Kesuburan Merosot
Menurut DOSM, populasi Malaysia pada tahun ini dianggarkan 34.2 juta, meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 dan 38.3 juta menjelang 2035. Namun, kadar kesuburan terus menunjukkan penurunan. Pada 2025, kadar kelahiran wanita berusia 15 hingga 49 tahun ialah 1.67 anak setiap wanita, turun kepada 1.66 pada 2030 dan 1.6 pada 2035. Angka ini kekal di bawah tahap penggantian generasi 2.1 sejak tahun 2013.
Dalam masa sama, kadar perkahwinan kasar turut menurun daripada 6.6 per 1,000 penduduk pada 2022 kepada 5.7 pada 2023. Trend ini dijangka memperpendek tempoh reproduktif, sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran negara.
Risiko Ekonomi dan Sosial Negara Tua
Para pakar memberi amaran bahawa Malaysia mempunyai masa kurang daripada 25 tahun untuk mempersiapkan diri menghadapi lonjakan warga emas. Negara jiran seperti Thailand sudah pun memasuki kategori negara tua pada 2021, manakala Singapura dijangka mempunyai lebih 20 peratus warga emas menjelang 2030. Perbandingan ini menunjkkan bahawa Malaysia bukan sahaja berhadapan dengan cabaran masa hadapan tetapi juga krisis demografi yang semakin membarah.
Jika tidak ditangani, implikasi negara tua boleh melumpuhkan struktur ekonomi: tenaga kerja berkurang, kos kesihatan meningkat, sistem perlindungan sosial terbeban, dan simpanan persaraan rakyat tidak mencukupi. Menurut data Bank Dunia, Malaysia kini berada dalam kelompok negara berpendapatan pertengahan atas. Namun, tanpa strategi menyeluruh, peluang untuk mencapai status negara maju boleh terbantut oleh tekanan demografi ini.
Pelan Tindakan Kerajaan: National Ageing Blueprint
Sebagai langkah proaktif, kerajaan telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional Penuaan (National Ageing Blueprint – NAB) 2025–2045, merangkumi dasar ekonomi, perlindungan sosial, pendidikan, pasaran buruh, kesihatan dan penjagaan jangka panjang.
Kerajaan mengenal pasti empat strategi utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP):
- Sistem penjagaan jangka panjang untuk warga emas.
- Penyertaan pasaran buruh dan pembangunan kemahiran bagi memastikan produktiviti ekonomi kekal.
- Reformasi fiskal dan perlindungan sosial untuk menampung kos kesihatan dan pencen.
- Pengukuhan simpanan persaraan melalui instrumen kewangan lebih inklusif.
Amir Hamzah mengakui isu keengganan golongan muda berkahwin dan menurunnya kadar kesuburan memerlukan pendekatan pelbagai dimensi, merentasi kementerian serta agensi. “Membalikkan trend ini memerlukan usaha besar. Perbincangan antara kementerian berkaitan akan terus dilakukan, termasuk dalam proses libat urus Belanjawan,” katanya.
Unjuran Malaysia sebagai negara tua menjelang 2048 bukan sekadar angka statistik. Ia adalah amaran jelas bahawa masa semakin suntuk untuk memperkukuh dasar, membina ekosistem penjagaan warga emas, serta menggalakkan kadar kesuburan yang sihat. Jika langkah-langkah tuntas tidak dilaksanakan segera, generasi akan datang terpaksa menanggung beban ekonomi dan sosial yang lebih berat. Kini adalah masa terbaik untuk bertindak sebelum Malaysia benar-benar memasuki era “aged nation” dengan persediaan yang rapuh.
#Prezcom